Rabu, Mac 07, 2018
PM KENA BIJAK SELESAIKAN KERUSI CAMERON HIGHLANDS
CAMERON HIGHLANDS, 6 Mac (Bernama) -- MIC yakin parti itu kekal bertanding di kerusi Parlimen Cameron Highlands pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), kata Presidennya Datuk Seri Dr S. Subramaniam.
Beliau berkata ini kerana kawasan Parlimen Cameron Highlands merupakan kerusi tradisi MIC sejak dahulu dan pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) maklum akan perkara itu walaupun terdapat parti komponen BN yang lain berminat untuk bertanding di kerusi itu.
"Jentera parti MIC sudah melakukan gerak kerja (dalam mendekati pengundi) sejak dahulu. Bagaimanapun, tiada masalah jika (parti komponen) mahu bekerja di sini bagi memastikan kemenangan berpihak kepada BN. Tiada isu dalam perkara itu," katanya.
Dr Subramaniam yang juga Menteri Kesihatan berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian cek berjumlah RM800,000 kepada Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil Terla dan Persatuan Penganut Dewa Sri Maha Mariamman di sini, hari ini.
Katanya MIC juga telah menyerahkan nama calon yang dicadangkan bertanding di kerusi itu kepada Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ulasan saya, Perdana Menteri selaku Pengerusi BN kena bijak menyelesaikan masalah kerusi Cameron Highlands kerana ia bimbang menjejaskan kestabilan BN sendiri.
Memang betul kerusi itu kerusi tradisi MIC tetapi atas semangat BN, MIC boleh ditukarkan dengan kerusi lain jika penilaian PMO dapati bahawa calon MIC akan kalah di situ. Buat apa MIC kekal bertanding di situ jika ia boleh menyebabkan BN hilang satu kerusi.
Sejak G Palanivel dipecat dari MIC, kerusi itu tidak dijaga oleh MIC. Sejak akhir akhir ini baru MIC tunjuk muka untuk jaga para pengundi sedangkan para pengundi sudah muak dengan krisis dalaman MIC.
Sejak itu Presiden MyPPP, Tan Sri M Kayveas selaku anak tempatan Cameron Highlands ulang alik memberi perkhidmatan kepada penduduk Cameron Highlands. Sudah empat tahun M Kayveas jaga rakyat Cameron Highlands yang menyebabkan MyPPP lebih popular dari MIC di kawasan tersebut.
Berdasarkan penilaian PMO, sudah tentu PMO mahu calon boleh menang. Jika PMO dapati calon MyPPP boleh memberi kemenangan kepada BN maka apa salahnya calon MyPPP bertanding di situ dan MIC ditukarkan ke parlimen lain yang lebih selamat. Tidak ada makna letak calon MIC kalau BN hilang kerusi Cameron Highlands.
Justru itu Najib kena berhati hati membuat keputusan kerana beliau pernah berkata soal kawan lama tidak timbul dalam menentukan calon. Apa guna meletakkan kawan jadi calon kalau kalah. Lebih baik letak orang baru yang boleh menang.
Pengorbanan MyPPP menjaga kawasan tersebut selama tiga tahun dari segi wang ringgit dan tenaga PM perlu ambil kira. PM kena dengar pandangan kedua dua pihak MIC dan MyPPP sebelum buat keputusan siapa yang layak bertanding di situ.
Jika tidak BN mungkin hilang MyPPP sebagai parti komponen BN menjelang PRU14 jika isu ini tidak ditangani secara adil dan saksama. Kita serah kepada kebijaksanaan PM menyelesaikan isu perebutan kerusi Cameron Highlands.