SEREMBAN, 3 Mac (Bernama) -- Masa depan masyarakat India akan lebih baik dan cerah jika Barisan Nasional (BN) terus memerintah negara ini, kata Pengerusi BN Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan.
Mohamad yang juga Menteri Besar berkata banyak yang telah dilakukan kerajaan BN yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk masyarakat India termasuklah memberi peruntukan RM980 juta untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) sejak 2008.
"Malah, perdana menteri juga menubuhkan unit khas di bawah Jabatan Perdana Menteri bagi memperkasa masyarakat India meliputi pelbagai aspek termasuk melancarkan Pelan Tindakan Pembangunan Masyarakat India (MIB).
"Ia (unit berkenaan) bertujuan memastikan setiap isu dan masalah yang dihadapi masyarakat India dapat dikenal pasti dan dikumpulkan supaya dapat dibuat suatu dasar pada MIB," katanya semasa berucap melancarkan Konvensyen Gerak Gempur Parti Makkal Sakti Malaysia Negeri Sembilan di sini, hari ini.
Turut hadir Presiden Parti Makkal Sakti Malaysia Datuk Seri R.S. Thanenthiran, Pengerusi Parti Makkal Sakti Malaysia Negeri Sembilan Datuk K.Saravana, Setiausaha BN Negeri Sembilan Datuk Hasim Rusdi, pemimpin parti komponen dan 1,000 anggota parti itu.