Isnin, Mac 05, 2018

FINTECH BUKAN ANCAMAN KEPADA CARA TRADISIONAL

KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menggesa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk menerima pakai fenomena digital dalam sektor kewangan untuk mencapai tahap yang lebih tinggi.

Beliau berkata, ini sejajar dengan Pelan Induk PKS kerajaan yang bertujuan merangsang pertumbuhan PKS melalui inovasi dan penyesuaian teknologi.

"E-pembayaran, transaksi tanpa tunai dan jualan berasaskan kod QR memberi wajah baharu kepada perniagaan," katanya pada pelancaran Ekspo Fintech 2018 di sini, hari ini.

Beliau berkata, kesalinghubungan dalam negara serantau dan antarabangsa akan membolehkan PKS tempatan berkembang pada kadar lebih cepat dengan pelanggan di luar sempadan negara.

Menurutnya, Malaysia juga memerlukan sektor kewangan yang menerima pelbagai kemungkinan yang ditawarkan ekonomi digital dalam menyediakan perkhidmatan yang kompetitif dan selamat kepada pelanggan.

Dengan revolusi industri keempat, ekonomi digital perlu beroperasi dan cepat menyesuaikan diri dengan teknologi, katanya.

"Oleh itu, fintech (teknologi kewangan) tidak boleh dilihat sebagai penggangu atau ancaman kepada cara tradisional, sebaliknya, ia harus dilihat sebagai dorongan kepada ekosistem," katanya.

Salleh berkata, digitalisasi mengubah orang, masyarakat dan kehidupan seharian rakyat dengan itu memberi kesan kepada setiap sektor ekonomi.

Di dalam landskap kewangan, beliau berkata, teknologi memudahkan akses pengguna kepada perkhidmatan kewangan.

"Ia telah meningkatkan kecekapan dan harapan rakyat sudah pasti meningkat," katanya, sambil menyatakan bahawa orang ramai mencari cara baru untuk membayar, menyimpan, melabur dan meminjam.

"Mereka mahu akses mudah alih pada bila-bila masa dan di mana sahaja. Mereka mahukan lebih banyak perkhidmatan lancar, segera, langsung dan peribadi," katanya

Berdasarkan angka terkini Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, penembusan selular mudah alih di negara ini telah mencapai 131.8 peratus, manakala penembusan jalur lebar berada pada 84.5 peratus daripada penduduk.

Daripada pengguna selular mudah alih, 89.4 peratus lebih suka menggunakan telefon pintar untuk mengakses Internet.

-- BERNAMA