Isnin, Mac 05, 2018

PEMUDA UMNO HARAP LEBIH RAMAI CALON MUDA JADI CALON PRU14

TAPAH, 4 Mac (Bernama) -- Pemuda UMNO berharap lebih ramai golongan muda diketengahkan sebagai calon pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin berkata beliau mempunyai kaedah tersendiri untuk mengetengahkan hasrat itu kepada Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Kita harap jumlah calon muda (yang diketengahkan pada PRU14) tidak kurang daripada pilihan raya umum yang lepas, kalau boleh lebih.

"Saya faham sekarang ini semua orang tengah desak perdana menteri, wanita, orang lama, penyandang, pemuda (desak). Saya ada cara untuk berbincang dengan perdana menteri, tak perlu berbincang melalui media," katanya.

Beliau yang juga menteri belia dan sukan berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kompleks Sukan Tapah di Tapah Road di sini hari ini, yang turut dihadiri Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk M. Saravanan.

Selain itu, Khairy berkata pada tahun lepas, Pemuda UMNO telah menuntut lebih 40 kerusi parlimen dan dewan undangan negeri (DUN) untuk diberikan kepada calon muda dan berharap ada muka baharu daripada golongan muda yang bertanding pada PRU14 nanti.

Bercakap mengenai kompleks sukan itu, Khairy berkata pembinaannya atas tanah seluas lebih lima hektar itu mengambil masa selama 22 bulan dan disiapkan sepenuhnya pada Disember tahun lalu.

Katanya pembangunan kompleks fasa satu itu merangkumi kemudahan sukan termasuk dewan serbaguna, tiga gelanggang badminton, tiga gelanggang sepak takraw, satu gelanggang bola jaring, padang bola sepak dan pejabat pengurusan kompleks.

Khairy berkata fasa kedua akan dimulakan dalam masa terdekat, yang mana skop projek tersebut meliputi astaka di padang bola sepak yang boleh memuatkan 500 kerusi, trek larian 400 meter, dua lorong lompat jauh, dua lorong untuk merejam lembing dan kemudahan untuk acara lompat tinggi serta lempar cakra.

Selain itu, katanya kompleks itu juga akan dijadikan lokasi bagi acara lawan pedang remaja pada Sukan Malaysia (Sukma) tahun ini.

-- BERNAMA