KUALA LUMPUR, 3 Julai ( Bernama) -- Analisis Anggota DAP Liew Chin Tong mengenai perancangan strategik Datuk Seri Najib Tun Razak untuk terus kekal berkuasa selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) penuh dengan andaian, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.
Beliau berkata Anggota Parlimen Kluang itu mendakwa bahawa Najib akan kekal berkuasa atas tiga faktor iaitu kecelaruan pembangkang, kerjasama Barisan Nasional (BN)-PAS dan kejayaan program ekonomi hasil peningkatan eksport serta hubungan baik dengan China.
"(Liew) Chin Tong mendakwa dengan tiga pencapaian ini, maka Najib merancang membubarkan Dewan Rakyat pada September dan Oktober. Dakwaan inilah yang saya maksudkan sebagai andaian kerana tiada siapa tahu bila Najib akan menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk berbuat demikian," katanya dalam blog beliau, sskeruak.blogspot.my hari ini.
Menyifatkan anggota DAP itu berkhayal dengan andaian, Salleh menempelak pembangkang yang asyik berkhayal setiap hari untuk pembubaran Dewan Parlimen sedangkan UMNO dan BN menumpukan masa untuk merancang pembangunan ekonomi negara bagi mensejahterakan kehidupan rakyat.
Mengulas satu persatu analisis Liew, Salleh berkata keyakinan Najib tentang kekuatan UMNO-BN yang dinyatakan Liew ada asasnya.
"Pakatan pembangkang nyata bercelaru dan tidak bersatu. Semua tahu parti pembangkang ini hendak memilih calon perdana menteri pun tidak bersepakat dan itu belum lagi mengambil kira pembahagian bilangan kerusi dan kawasan yang hendak mereka tandingi.
"UMNO dan PAS dalam keadaan hubungan yang baik sekarang ini memang benar. Kerjasama ini terjalin kerana mahu menjaga kedaulatan negara daripada diceroboh oleh campur tangan asing. Bekerjasama dalam hal-hal yang melibatkan kepentingan negara dan bersetuju untuk menentang sesiapapun yang mensabotaj kemakmuran dan keamanan yang kita kecapi," katanya.
Salleh, yang juga Bendahari UMNO, menjelaskan keyakinan Najib terhadap kemakmuran ekonomi negara berasas kerana laporan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mencatatkan kadar eksport meningkat 21.2 peratus pada April 2017 kepada RM298.65 bilion.
Nilai dagangan antara Malaysia dan China berjumlah RM433 bilion dan dijangka terus meningkat kepada RM694 bilion pada tahun berikutnya.
"Bank Dunia dalam laporannya bertajuk 'East Asia and Pacific Economic Update' menyatakan peningkatan eksport perdagangan dan penumpuan negara dalam pembangunan infrastruktur melonjakkan pertumbuhan ekonomi Malaysia kepada 4.3 peratus pada 2017 dan akan terus berkembang kepada 4.5 peratus pada 2018. Oleh itu, pencapaian ini semestinya memberi manfaat kepada kekuatan, kestabilan dan pertumbuhan ekonomi negara," katanya.
Salleh turut menyangkal dakwaan Liew bahawa Najib akan mengugurkan beberapa menteri besar dan ketua menteri selain mengetepikan beberapa pemimpin tertinggi UMNO.
Beliau menyifatkan tujuan Liew melemparkan tohmahan bertujuan menunjukkan Najib tidak mempercayai kepada menteri besar, sekali gus menggambarkan bahawa kedudukan Najib lemah, sedangkan hakikatnya perdana menteri terus mendapat sokongan pemimpin UMNO, pegawai kerajaan dan rakyat.
"Begitulah dakwaan Liew. Dari mana beliau mendapat tahu perancangan strategik Najib ini, tiada siapapun yang tahu. Yang beliau tahu ialah sumber beliau mengikut khabar angin dan juga andaian beliau sendiri.
"Realitinya ialah hubungan Najib dengan timbalannya dan pemimpin-pemimpin UMNO adalah rapat. Tidak ada air yang berkocak," katanya.
Mengenai dakwaan Liew yang Najib tidak lagi mendapat sokongan rakyat disebabkan beliau terpalit dengan banyak isu seperti 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat dan Kumpulan Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV), Salleh menegaskan semua isu yang dibangkitkan telah dijawab oleh kerajaan beberapa kali sebelum ini.
"Dalam dakwaan Liew ini, sehinggalah bukti nyata dikemukakan di mahkamah undang-undang, apa juga tuduhan yang dihalakan kepada Najib, maka itu adalah dakwaan semata-mata yang bertujuan membina persepsi (negatif) rakyat. "Sekarang ini, nyatanya rakyat sudah bosan dengan tuduhan sedemikian dan hari demi hari, kepercayaan rakyat dan masyarakat antarabangsa kepada ketelusan kerajaan semakin meningkat," katanya.
Salleh turut menyifatkan analisis Liew, yang menyatakan sekiranya berlaku 15 peratus peralihan sokongan Melayu, maka UMNO-BN akan kalah di 40 kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia dalam PRU14, sebagai menghairankan.
Beliau menekankan bahawa 15 peratus peralihan sokongan undi Melayu itu bukannya akan jatuh kepada parti pembangkang, tetapi akan beralih kepada UMNO-BN kerana hubungan baik UMNO-PAS ketika ini cukup melegakan orang Melayu.
"Sesungguhnya, andaian Liew tentang perancangan strategik Najib memakan diri," katanya.
-- BERNAMA