Ahad, Julai 02, 2017

HUSAM MB DIREMOTE CONTROL DAP



KUALA LUMPUR 1 Julai - Pas menyifatkan Naib Presiden PAN, Datuk Husam Musa sebagai calon Menteri Besar Kelantan yang boleh dikuasai dan patuh kepada DAP.


Ketua Penerangannya, Nasrudin Hassan berkata, bagi menjatuhkan Pas di Kelantan, DAP memerlukan seorang Menteri Besar yang patuh kepada kehendaknya.


Justeru, jelas beliau, mereka bukan hanya perlukan individu yang ‘diredhai’ oleh DAP, malah dana untuk menjayakannya.

“Politik mereka kini bertunjangkan dendam kesumat. Asal Pas jatuh di Kelantan maka siapa pun menang tidak mengapa.


“DAP nak perintah Kelantan tidak boleh, akhirnya mereka atur orang yang boleh dikuasai untuk memimpin Kelantan,” katanya dalam status di laman Facebook beliau semalam.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang kelmarin menyokong Husam sebagai calon Menteri Besar Kelantan jika tampuk pemerintahan negeri tersebut berubah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Kit Siang berkata, pemilihan Husam dibuat bagi membawa perubahan besar kepada Kelantan yang selama ini diperintah oleh kepemimpinan Pas.

Mengulas lanjut, Nasrudin berkata, rakyat Kelantan berhak menentukan siapa Menteri Besar yang akan memimpin negeri itu.

“Apakah mereka mahu Menteri Besar yang patuh DAP atau Menteri Besar yang mempunyai karisma tinggi bagi meneruskan legasi kepemimpinan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat,” katanya.