Selasa, Julai 04, 2017

BAHASA MELAYU SEOLAH OLAH TIDAK PENTING?


oleh Shahbudin Embun

(sudah disiarkan dalam Berita Harain)

Kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah bahawa graduan perubatan yang berkelayakan diberi kelonggaran syarat kelayakan lulus Bahasa Melayu bagi SPM untuk dilantik secara kontrak sebagai Pegawai Perubatan Gred UD41 telah menimbulkan satu lagi isu tentang bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa utama di negara kita. Bahkan jangan terkejut apabila banyak pihak yang mempertikaikan keputusan ini, seolah-olah Bahasa Melayu bukan menjadi sesuatu yang penting atau keutamaan kepada graduan perubatan khasnya .

Walaupun pihak Kementerian Kesihatan telah memberikan penjelasan dan rasionalnya tentang isu ini , namun ianya tetap menimbulkan isu serta persoalan. Bayangkan jika seorang doktor tidak berupaya menjelaskan kepada pesakit yang hanya faham dan dapat menguasai Bahasa Melayu sahaja.Adakah pesakit itu yang patut dipersalahkan?

Kedudukan Bahasa Melayu sememangnya sangat istimewa dan sudah diiktiraf serta sudah termaktub di dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta 32 Bahasa Kebangsaan 1963/67.Namun janganlah ianya hanya hebat di atas kertas tetapi tidak dibuktikan dengan penguasan bahasanya di kalangan kita semua.

Dan jika diukur dari segi sejarah, satu ketika dahulu Bahasa Melayu merupakan antara bahasa yang paling utama di rantau ini. Fakta ini sudah termaktub dalam sejarah dan tidak perlu dipertikaikan lagi.

Apa yang lebih membimbangkan ialah masa depan bahasa yang sepatutnya menjadi kebangaan setiap orang yang bergelar rakyat Malaysia. Perlu diingatkan bahawa sebelum anda bergelar sebagai doktor, peguam, pentadbir, guru dan pelbagai lagi bidang profesion, anda adalah rakyat Malaysia dan perlu faham akan pentingnya penguasaan Bahasa Melayu di kalangan rakyat Malaysia.

Ada pihak yang memberikan alasan bahawa dalam bidang pendidikan dan dalam dunia sains dan teknologi, Bahasa Melayu dianggap tidak mampu bertindak sebagai sebuah bahasa ilmiah yang akan membantu para graduan. Mereka memberikan alasan bahawa bahasa rasmi negara ini tidak sehebat Bahasa Inggeris.

Mungkin golongan ini perlu pergi ke Jepun, Korea Selatan serta beberapa buah negara lain untuk melihat bagaimana bahasa kebangsaan negara tersebut telah membangkitkan semangat kebangsaan yang tinggi hingga membolehkan mereka berjaya dalam pelbagai bidang. Ini juga membuktikan bahawa ilmu pengetahuan boleh disampaikan dalam apa bentuk bahasa pun.

Dan saya yakin Bahasa Melayu juga masih mampu untuk melahirkan para graduan yang akan mencipta nama dalam pelbagai bidang sains dan teknologi. Universiti Kebangsaan Melaysia yang begitu berbangga dengan penggunaan sepenuhnya Bahasa Melayu di peringkat pengajian tertinggi telah membuktikan yang siswazah yang dilahirkan mampu berdiri sama tinggi dengan universiti lain, termasuklah dalam bidang yang berkaitan dengan perubatan serta sains dan teknologi.

Sebenarnya usaha mempertahankan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmiah merupakan antara cabaran yang harus kita tempuhi dalam memartabatkan lagi Bahasa Melayu. Dalam hal ini, usaha menterjemah serta menghasilkan buku-buku ilmiah dalam bahasa Melayu perlu dipertingkat dan diberi sokongan yang sepenuhnya oleh pihak kerajaan.Kita perlu terus membuktikan yang Bahasa Melayu akan terus menjadi bahasa ilmiah yang boleh digunakan oleh para pelajar baik dari peringkat sekolah sehinggalah ke peringkat universiti.

Budaya globalisme tanpa sempadan juga merupakan satu cabaran yang perlu ditangani dengan baik. Elemen ini menyebabkan bahasa Inggeris lebih mudah digunakan oleh generasi hari ini dan mereka seolah-olah kelihatan lebih hebat jika bertutur dalam Bahasa Inggeris . Tidak salah untuk kita menguasai Bahasa Inggeris dengan baik, tetapi pada masa yang sama Bahasa Melayu perlu diberi keutamaan tanpa sebarang tolak ansur supaya Bahasa Melayu lebih luas digunakan dalam ruang sosial dan juga profesional.



Kita sebagai rakyat Malaysia perlu berasa bangga dengan bahasa rasmi kita. Inilah bahasa perpaduan yang juga akan membantu membina jati diri bangsa kita semua . Itu sebabnya tidak ada tolak ansur dalam isu ini dan Bahasa Melayu perlu sentiasa dimartabatkan