Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, berkata walaupun kemelut di Terengganu ibarat 'ribut dalam cawan', ia boleh merebak sekiranya mereka tidak bersatu dan tidak berpegang pada satu ikatan.
"Dalam istilah politik, Terengganu adalah 'swing state'. Boleh beralih ke arah menang dan beralih kepada kalah. Tapi hari ini kita kena tanya diri kita...tepuk dada tanya selera.
"Angin yang bertiup hari ini ke arah mana? Angin yang bertiup hari ini ke arah BN menang? Kalau nak menang...buatlah cara nak menang. Jangan nak 'baloh-baloh' (berbalah) sesama sendiri," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Terengganu di sini hari Sabtu.
Najib berkata dalam menangani kemelut yang sentiasa menjadi isu di negeri ini, beliau berharap rakyat Terengganu akan terus memberi kepercayaan kepadanya dalam memikirkan kaedah untuk memperbaiki keadaan, malah beliau telahpun bersemuka dengan beberapa Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu.
Perdana Menteri berkata pertemuan tersebut dilakukan secara berperingkat dan beliau sentiasa berlapang dada untuk mendengar setiap keluhan mereka bagi memastikan UMNO Terengganu terus stabil.
"Tak usahlah kita serabut sangat kepala...cukup. Saya tengok orang Terengganu ini banyak sangat serabut...serah perkara ini kepada saya sebagai perdana menteri dan presiden parti.
"Saya akan fikir yang terbaik...saya pun dah jumpa dari hati ke hati dengan setiap ADUN...belum habis lagi, dalam proses. Saya nak tahu apa sebenarnya, saya nak dapatkan gambaran terbaik, mudah-mudahan ada permuafakatan," katanya.
Najib berkata dalam memimpin, beliau sentiasa mengamalkan perbincangan sesama ahli dan tidak akan membuat keputusan secara bersendiri malah tidak pernah memaksa pihak lain mengiayakan sahaja cadangannya.
Namun, beliau berharap sekiranya terdapat ketidakpuasan hati terhadap pemimpin, ia hendaklah dibangkitkan dengan cara yang beradab.
Sementara itu, bagi memastikan UMNO memperoleh kemenangan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan datang, Najib berharap UMNO Bahagian itu dapat mengatur strategi terbaik dan bekerja keras dalam memenangi hati rakyat.
Katanya bahagian tersebut perlu merampas kembali lima kerusi yang dimenangi pembangkang pada PRU lepas, termasuk kawasan Parlimen Kuala Terengganu, dan harus sedar serta bangkit sebelum terlambat.
Kawasan Parlimen Kuala Terengganu mempunyai empat kerusi DUN - Bandar, Wakaf Mempelam, Ladang dan Batu Buruk.
"Tidak ada sebab mengapa Kuala Terengganu tidak boleh lakukan sesuatu yang lebih baik untuk PRU akan datang. Saya datang ke Terengganu kerana saya tahu Terengganu ada keunikannya.
"Berbeza dengan Kelantan, kita kalah sejak 1990 sampai hari ini...26 tahun. Terengganu ini ada masa kita menang, ada masa kita kalah. Ada masa kita menang cemerlang, ada masa kita menang sipi-sipi," katanya.
Sebelum mengakhiri ucapan, Najib sempat mengingatkan anggota UMNO supaya terus berpegang kepada prinsip kesetiaan dan kasih kepada parti yang telah banyak berjasa kepada bangsa, agama dan negara.
"Kalau kita ada kasih sayang, menghormati perjuangan UMNO, saya percaya Terengganu kita boleh pertahankan.
"Terengganu boleh terus maju, banyak program yang kita nak lakukan untuk Terengganu," katanya yang sempat mengucapkan tahniah kepada pelumba basikal trek negara kelahiran Terengganu, Azizulhasni Awang yang memenangi pingat gangsa di Sukan Olimpik Rio.
Turut hadir, Menteri Besar merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Ahmad Razif Abd Rahman dan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu Datuk Mohd Sabri Alwi.
Ulasan saya, ucapan PM menunjukkan bahawa Umno tidak akan memecat ADUN Kijal, Datuk Seri Ahmad Said yang mengemukakan undi tidak percaya kepada MB pada Mac lalu kerana bimbang kerajaan BN Terengganu tumbang.
Justru itu Umno akan mengekalkan Ahmad Said sehingga PRU akan datang. Kita patuh kepada Presiden Umno maka kita terima keputusan ini kerana beliau kata beliau tengok orang Terengganu banyak sangat serabut.
Namun demikian,bukan sahaja penyokong Razif yang patut mematuhi arahan Najib, malah penyokong Ahmad Said juga perlu mematuhi ucapan Presiden Umno supaya menghormati perjuangan Umno. Kalau Ahmad Said hormati perjuangan Umno, beliau tidak menganggu pentadbiran Razif. Oleh kerana beliau tidak hormati perjuangan Umno, maka ribut dalam cawan ini meletus.