Ahad, Ogos 21, 2016

LUCU KENYATAAN CUCU DATO ONN



SHAH ALAM 21 Ogos - Sikap pengasas UMNO, Datuk Onn Jaafar yang tidak memburukkan pemimpin dan parti walaupun telah meninggalkan UMNO harus dicontohi oleh semua pihak.


Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Onn yang merupakan datuknya juga tidak menimbulkan huru-hara dan mengajak rakyat turun ke jalanan ketika memutuskan untuk keluar parti pada 1951.

"Saya masih simpan pesanan terakhir Onn kepada UMNO, maka saya berharap juga parti ini akan memandangnya dengan pandangan yang luas, pandangan yang dikatakan nasional atau kebangsaan dan jangan semata-mata hadapkan pandangan itu kepada pandangan sempit semata-mata iaitu hidup hanyalah di bawah tempurung sendiri dengan tidak menghiraukan tempurung-tempurung lain yang terletak di sebelah.

"Dia tidak suruh kita mengaruk (mengamuk), dia tidak suruh kita jatuhkan Perdana Menteri, dia tidak suruh runtuhkan kerajaan. Ini pemimpin yang mempunyai nilai keikhlasan dan kesabaran. Disebabkan dua nilai ini cucunya ini dapat bersama-sama anda. Saya juga melihat misinya telah menjadi kenyataan dalam pendekatan kita di Barisan Nasional (BN)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Kota Raja di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar; Ketua UMNO Bahagian Kota Raja, Kamaruzzaman Johari; Naib Ketua UMNO Bahagian, Mohd. Hamidi Abu Bakar dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Irmohizam Ibrahim.

Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan dalam pada itu meminta pemimpin akar umbi UMNO di Selangor mendekati anggota sendiri sebagai asas utama dalam usaha merampas kembali negeri itu.

"Dekati anggota parti yang belum berdaftar sebagai pengundi, anggota parti yang perlu dikesan, anggota parti yang berada di luar bahagian, anggota parti yang tidak mengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

"Ini semua berkisar kepada parti kita sendiri dan itu semua hanya kita boleh selesaikan serta tidak boleh harap orang lain kerana ini melibatkan keluarga kita, sebab itu kita kena menjaga rumahtangga kita dahulu," katanya.

Beliau turut menasihati semua anggota UMNO Selangor supaya mengetepikan kepentingan peribadi, bersikap ego, tamak dan berpuak-puak dalam parti.

"Percayalah, kalau semua itu dibuat tiada sebab kemenangan yang tidak dijangka ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar dijadikan sebagai detik permulaan dan gelombang kecil pun boleh menjadi gelombang tsunami untuk pastikan kemenangan (BN) di semua kerusi di Selangor," katanya. -

Ulasan saya, lucu dengar ucapan Hishamuddin yang membela datuknya yang keluar Umno tidak pernah mengutuk Umno dan pemimpin Umno. Ya ke Hishamuddin? Kalau nak bela Dato Onn pun janganlah cakap yang bukan-bukan.

Mustahil Dato Onn tak pernah memburukkan Presiden Umno, Tunku Abdul Rahman dan Umno ketika berkempen menentang Perikatan melalui Parti IMP dan Parti Negara. Parti IMP beliau gagal maka beliau tubuhkan Parti Negara. Malah orang Kuala Terengganu yang mengangkat Dato Onn sebagai ahli parlimen mereka dalam PRU 1959 dan beliau meninggal dunia pada tahun 1962 ketika masih menjadi ahli parlimen Kuala Terengganu.

Hishamuddin belum lahir ketika itu. Zaman dahulu lagi sengit kempen pilihanraya kerana bebas ada ceramah terbuka. Malah Tunku meletakkan jawatan PM dan Tun Razak memangkunya kerana Tunku mahu berkempen di seluruh Malaya. Tambahan pula ketika itu sistem pengangkutan di seluruh negara begitu daif maka Tunku terpaksa ambil cuti untuk pastikan Perikatan menang.

Tak logik Dato Onn tak pernah memburukkan pemimpin Umno dan Umno kerana beliau yang meletakkan jawatan Presiden Umno apabila cadangannya membuka Umno kepada semua kaum gagal. Jadi siapa pengkhianat Umno di sini yang mahu Umno dibuka kepada semua kaum. Bukankah Dato Onn? 

Sewaktu Dato Onn memimpin Parti Negara, anaknya Hussein Onn terpaksa melupakan politik. Selepas Dato Onn meninggal dunia, barulah beliau menyertai Umno semula dan Tun Razak memilih birasnya bertanding di parlimen Johor Bharu pada PRU 1969. Oleh kerana birasnya Tun Razak sudah jadi PM, maka mudahlah Hussein Onn bertapak dalam politik sehingga menjadi PM pada tahun 1976.