Jumaat, Ogos 19, 2016

JANGAN KEDEKUT BANTU RAKYAT KATA SALLEH

HULU TERENGGANU, 19 Ogos (Bernama) -- Pemimpin UMNO perlu jelas dengan matlamat parti serta mempunyai strategi supaya rakyat terus menyokong perjuangan UMNO tanpa berbelah-bahagi, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Beliau berkata strategi yang dianggap berkesan untuk memastikan rakyat terus bersama-sama dengan UMNO adalah pemimpin perlu memenangi hati dan minda rakyat.


Salleh yang juga Bendahari UMNO turut mengingatkan pemimpin UMNO supaya jauhi sikap sombong, berlagak dan kedekut membelanjakan wang ringgit untuk membantu rakyat.

"Jika kita sudah jadi pemimpin, jangan sombong dan tidak melayan permintaan mereka. Jangan bila terima WhatsApp atau panggilan telefon ... tidak balas. Begitu juga jangan amalkan sikap berlagak. Contoh, dahulu sebelum jadi pemimpin rumah kecil sahaja, bila dah jadi pemimpin buat rumah besar-besar.

"Kita juga jangan kedekut untuk bantu rakyat. Kalau dalam poket ada RM1,500, belanjakan RM1,000, tinggalkan RM500 sahaja dalam poket. Ini adalah petuanya. Rakyat takkan marah kalau perkara-perkara sekecil ini boleh diselesaikan para pemimpin," katanya ketika merasmikan persidangan perwakilan sayap Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO Bahagian Hulu Terengganu, di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia merangkap Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu Datuk Jailani Johari serta 1,800 perwakilan UMNO Hulu Terengganu.

Salleh berkata untuk memenangi hati rakyat, kerajaan dan pemimpin perlu mengadakan peluang-peluang ekonomi dan pekerjaan kepada rakyat.

"Ia bagi memastikan rakyat dapat terus hidup dalam keadaan yang selesa dan menikmati pembangunan yang sama rata seperti dinikmati para pemimpin ... tidak lagi menjadi masalah untuk rakyat terus bersatu menyokong kita," katanya.

Beliau turut berpesan kepada anggota dan pemimpin UMNO agar terus bekerjasama dalam satu pasukan bagi memantapkan parti dan seterusnya memastikan kejayaan dalam pilihan raya umum akan datang.

"Semua kita mempunyai peranan yang penting. Ibaratnya kita ini macam satu pasukan bola. Untuk menang, kita perlu bersatu hati walaupun tugas dan peranan masing-masing berbeza.

"Jangan kalau tugas kita menjaga gol, kita pula mahu jadi 'striker'. Ini akan menyusahkan kumpulan. Kalau ada ahli yang sebegini kita boleh gugurkan kerana ia menyusahkan dan mungkin akan membawa kegagalan kepada pasukan kita," tegasnya.