OLEH
SHAHBUDIN HAJI EMBUN
Sebagaimana yang pernah penulis sarankan dahulu, adalah lebih sukar untuk mempertahankan kejuaraan daripada memenanginya.Sang Juara perlu memberikan usaha dan komitmen yang lebih untuk mempertahankan kejuaraan. Lihat sahaja pada kegigihan Mo Farah, atlet 10 000 meter dari Great Britain yang mempertahankan kedudukannya sebagai pemenang pingat Emas Sukan Olimpik untuk acara 10 000 meter.
Beliau dicabar oleh tiga orang pelari Kenya dan dua orang pelari Maghribi yang telah “berkonspirasi” untuk menjatuhkan gelaran Mo Farah. Namun kegigihan Mo Farah yang berlatih kuat dan membuat persediaan yang rapi telah berjaya mengetepikan cabaran daripada pelari-plari dari negara lain.Mungkin prinsip kejayaan Mo Farah boleh dijadikan panduan kepada ahli-ahli UMNO dan juga Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) nanti.Mo Farah juga dicabar oleh gabungan pelari-pelari Kenya dan Maghribi, sebagaimana BN yang akan dicabar oleh
beberapa gabungan parti yang membentuk pakatan pembangkang.
Barisan Nasional sebagai penyandang , perlu bertindak segera untuk memastikan kemenangan berpihak kepada BN pada PRU 14 nanti. Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak sudah beberapa kali mengingatkan ahli-ahli UMNO supaya jangan berpuas hati dengan kedudukan yang ada dan perlu berusaha dengan lebih kuat lagi.
Dan perkara ini juga telah mendapat perhatian Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang baru-baru ini telah menggariskan lima pinsip yang boleh membawa (BN) dan UMNO memenangi PRU14 nanti. Menurut Zahid, prinsip itu ialah menyelesaikan masalah dalaman parti, turun ke bawah merungkai isu rakyat dan akar umbi, memilih calon disukai dan mampu menang, kerja keras dan jangan rasa selesa serta menyalurkan peruntukan untuk kebajikan rakyat.
Ini adalah cabaran kepada ahli-ahli UMNO supaya melaksanakan apa yang disarankan oleh Zahid.Penulis amat tertarik dengan saranan Zahid supaya turun ke bawah merungkai isu rakyat dan akar umbi.
"Kalau mereka miskin dan susah, tolong mereka. Jangan kita pilih bangsa, agama...tolong semua. Realitinya buangkan urusan biasa, realitinya buangkanlah keselesaan kita... berikan bantuan kepada yang benar-benar memerlukan”.Begitulah yang dikatakan oleh Zahid Hamidi baru-baru ini.
Di atas kertas, pastinya semua ahli UMNO bersetuju dengan apa yang disarankan oleh Zahid Hamidi.Dan bagi mereka yang berada di dalam majlis yang mana Zahid berteriak memberikan amaran dan ingatan ,juga pastinya akan bersemangat untuk terus melaksanakan apa yang dilaungkan oleh Zaid.
Namun realitinya, berapa ramaikah di antara kita yang sanggup turun ke bawah, dengan penuh keikhlasan diri dan membantu mereka yang memerlukan. Cuba tanya pada diri sendiri dan cermin diri anda.Sanggupkah anda membuang keselesaan hidup untuk membantu dan membuktikan yang UMNO merupakan parti yang benar-benar prihatin terhadap masalah masyarakat dan rakyat.
Zahid ada juga mengingatkan ahli-ahli UMNO tentang elemen zon selesa.Zahid telah memberi contoh tentang apa yang berlaku di Selangor.Pada suatu ketika dahulu, Selangor boleh dikategorikan sebagai zon selamat untuk BN. Namun disebabkan kesilapan dan kealpaan sendiri, maka Selangor telah kecundang di tangan pihak lawan pada PRU 12 dan PRU 13. Hingga hari ini, kegagalan mendapatkan semula Selangor ,yang merupakan antara negeri yang paling maju, merupakan tamparan yang paling hebat bagi UMNO dan juga BN keseluruhannya.
Apa yang penting ialah contoh yang diberikan oleh Zahid itu diberikan perhatian oleh ahli-ahli UMNO sekarang. Jangan terkejut jika negeri-negeri lain yang berada dalam zon selesa BN juga boleh mengalami nasib yang sama pada PRU 14 nanti.
Tidak dapat dinafikan lagi yang BN mempunyai jentera pentadbiran Pilihan Raya yang efektif. Manakala para pakar yang menyusun strategi juga tidak kurang hebatnya. Tetapi jangan disebabkan terlalu taksub dengan kajian analisis dan strategi maka perkara asas seperti berkempen di akar umbi, dilupakan. Dan janganlah pula kerana terlalu sangat hendak mengejar kedudukan untuk menjadi calon wakil rakyat, maka kesejahteraan dan rintihan rakyat dipinggirkan.
“Cukuplah...orang kenal dulu kita siapa. Jangan ubah sikap, jangan ubah cara di mana pun kita duduk, itulah cara kita. Kita hendaklah menjadi padi, makin tunduk bila berisi. Bagi orang sayang pada kita,”
Itulah mungkin kata-kata keramat Zahid Hamidi, yang boleh memberikan kesedaran kepada ahli-ahli Umno dan BN supaya berusaha dengan lebih kuat dan terus memberikan sumbangan yang bermakna kepada rakyat Malaysia umumnya.