Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, beliau tidak tahu-menahu mengenai sebarang permintaan untuk mendapatkan bantuan kerajaan negeri oleh pelumba basikal negara, Azizulhasni Awang sebelum ini.
"Saya ingin menjelaskan perkara yang dibangkitkan oleh Azizulhasni, yang sedang tersebar di media sosial, tidak dibawa ke perhatian saya," katanya dalam kenyataan.
Azizulhasni yang memenangi pingat gangsa dalam acara berbasikal keirin di Sukan Olimpik Rio 2016 yang sedang berlangsung sebelum ini secara sinis mengucapkan terima kasih kepada MB Terengganu kerana tidak membantunya apabila beliau meminta kerajaan negeri membantunya membeli basikal untuk tujuan latihan.
Katanya, permintaan beliau yang kemudiannya disusuli oleh pasukan pengurusannya juga tidak mendapat sebarang jawapan.
Bagaimanapun, ujar Azizulhasni, pihaknya berharap MB akan melihat perkara ini dalam semangat positif sebagai pembuka mata kepada semua yang terlibat dalam membangunkan sukan negara.
Dalam semangat yang sama, Ahmad Razif berkata, beliau bersedia untuk bertemu Azizulhasni secara peribadi bagi menyampaikan rasa bangga semua rakyat Terengganu atas pencapaian tersebut serta mendengar apa-apa jua perkara yang ingin dibangkitkan.
"Saya bersedia untuk bertemu dengan Azizul dan mendengar apa jua luahan dengan hati yang terbuka," tambah Ahmad Razif.
Sementara itu Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menasihati pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Rio, Azizulhasni Awang mendapatkan penjelasan daripada pejabat Menteri Besar Terengganu selepas mendakwa permohonan bantuan yang dimintanya tidak dilayan.
Khairy Jamaluddin berkata Azizulhasni tidak harus membiarkan rungutannya ke atas Menteri Besar Ahmad Rafiz Abdul Rahman, merosakkan kegembiraannya selepas meraih gangsa dalam acara keirin semalam.
Mengulas luahan jaguh trek negara dalam laman Facebooknya sejurus mendapat pingat pertama untuk Malaysia dalam acara berbasikal Sukan Olimpik, Khairy percaya ia hanya salah faham dan mudah diselesaikan.
"Azizulhasni tidak harus membenarkan perkara itu membayangi pencapaiannya di Rio," katanya selepas menyaksikan jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei mara ke separuh akhir selepas menang 21-9, 21-15 ke atas Chou Tien Chen dari Taiwan di suku akhir.
Dalam laman Facebooknya, Azizulhasni, 28, mendakwa Ahmad Razif tidak memberikan sebarang reaksi kepada permintaan mendapatkan basikal RoadBike untuk dirinya dan Fatehah Mustapa, kedua-duanya pelumba kelahiran Terengganu, sebagai persediaan menghadapi Sukan Olimpik.
"Saya tidak tahu apa yang berlaku tetapi Azizulhasni mendapat sokongan penuh daripada kementerian saya dan Yayasan Sime Darby...mungkin dia mahu bantuan tambahan dan memohonnya di Terengganu," kata Khairy.
Sementara itu, chef-de-mission negara, Tan Sri Mohamed Al Amin Abdul Majid turut berkongsi pandangan dengan Khairy dan berkata perkara tersebut boleh diselesaikan dengan mudah.
"Atlet itu hanya perlu menulis kepada menteri besar kerana permohonan tersebut mungkin tidak sampai ke pengetahuannya.
"Saya akan bercakap dengan Azizulhasni sebelum beliau berlepas pulang ke tanah air malam ini," katanya.
Ulasan saya, apa motif Azizulhasni menyindir MB. Kalau benar surat itu sampai ke pejabat MB, masakan ia tidak sampai ke tangan MB kecuali surat itu dihantar melalui orang lain.. Sebagai ahli sukan terkenal, takkan beliau tak boleh buat temujanji dengan MB untuk melahirkan hasratnya itu secara peribadi kepada MB.