Rabu, Ogos 17, 2016

KALAU FITNAH, KENAPA TANDING NAIB PRESIDEN UMNO?



Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir menyifatkan dakwaan penglibatannya dalam arena politik negara hanya untuk mencapai cita-cita untuk menjadi Perdana Menteri secara pantas adalah fitnah semata-mata.

Mukhriz Mahathir

Kata Mukhriz, kenyataan yang dibuat bekas pegawai politiknya, Haris Che Mat kepada pemberita semalam hanya bersifat andaian tanpa disokong fakta.

“Awal-awal dulu saya rasa tidak patut komen sebabnya sedang berjalan satu kes saman terhadap Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad iaitu Setiausaha Akhbar Perdana Menteri kerana membuat tuduhan sama.

“Apabila difikirkan balik, tidak salah saya menjawab kerana bila lihat rakaman sidang media Haris semalam, saya dengar banyak ayat dia bermula dengan perkataan ‘ada ura-ura’.

“Lepas itu dia bercerita Tun Dr. Mahathir Mohamad berpakat dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin. Bila masa dia ada di situ sewaktu kononnya Mahathir dengan Muhyiddin cakap pasal ‘fast track’ untuk saya jadi Perdana Menteri?” katanya kepada pemberita selepas sidang Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Ulasan saya, jika ia fitnah kenapa Mukhriz tanding Naib Presiden Umno pada tahun 2013? Takdirnya beliau menang jawatan Naib Presiden Umno pada tahun tersebut sudah tentu beliau adalah calon untuk jadi TPM menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dipecat pada tahun lepas.

Pada 2013, beliau sepatutnya menang jawatan Naib Presiden Umno bersama Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Shafie Apdal. Jika beliau menang, sudah pasti Tun Dr Mahathir mendesak Datuk Seri Najib Tun Razak melantik Mukhriz sebagai TPM dalam rombakan kabinet tahun lepas dan bukannya Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Oleh itu jika beliau tak mahu jadi TPM, lebih baik beliau tanding jawatan ahli majlis tertinggi Umno seperti kata Haris Che Mat.