Rabu, Ogos 10, 2016

MAHATHIR DIMAKAN SUMPAH?



Tun Dr Mahathir Mohamad dilapor dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur kerana mengalami masalah jangkitan.

Memetik kenyataan institut itu, laporan menyebut bekas perdana menteri 91 tahun itu dijangka diletak bawah pemerhatian untuk beberapa hari.

“Buat masa sekarang, Tun (Dr Mahathir) sedang dirawat di Wad Am IJN dan berdasarkan atas nasihat pakar perubatan, hanya ahli keluarga terdekat sahaja dibenarkan melawat beliau,” kata kenyataan itu.

Beliau dimasukkan ke wad atas nasihat pasukan perubatan dan kunjungan dibataskan terhadap anggota keluarga sahaja.

Keadaan itu membuatkan beliau tidak dapat bersama bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mendaftarkan sebuah parti politik baru di Putrajaya.

Dr Mahathir, perdana menteri keempat, dilantik sebagai pengerusi parti yang menyasarkan penyertaan anggota Umno yang tidak puas hati dengan kepimpinan presidennya Datuk Seri Najib Razak.

Beliau pernah dimasukkan ke IJN pada 16 November 2013 atas penyakit sama tetapi beliau dibenarkan keluar beberapa hari selepas itu setelah mendapat rawatan.

Beliau juga pernah menjalani pembedahan pintasan koronari di Hospital Kuala Lumpur, 27 tahun yang lalu pada 24 Januari 1989 dan pembedahan pintasan koronari susulan pada 4 September 2007 di IJN.



Pelik juga Dr Mahathir diserang sakit dada pada hari yang sama bekas Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin mengemukakan permohonan untuk mendaftarkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) semalam.

Presiden pro-tem itu juga mendedahkan bahawa parti baru berkenaan terbuka kepada semua kaum, tetapi mereka hanya dibenarkan menjadi ahli bersekutu yang tidak boleh bertanding mana-mana jawatan atau mengundi pada pemilihan parti.

Bagaimanapun, Muhyiddin menggesa semua rakyat negara ini tanpa mengira kaum untuk menyertai BERSATU.

Adakah Dr Mahathir yang mahu sehidup semati dengan Umno dimakan sumpah? Oleh itu ambil ikhtibar semua bekas pemimpin Umno. Selama ini Umno yang beri anda jawatan, Umno yang beri anda kaya, anda sudah bersumpah untuk berjuang demi bangsa, agama dan tanah air tetapi bila Umno sudah tidak dapat beri apa apa kepada anda, anda tubuh parti baharu.

Maka ambillah ikhtibar kenapa  tiba tiba Dr Mahathir sakit. Dalam pada itu bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim mengumumkan beliau tidak akan menyertai parti baru, yang akan diketuai oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

Menurut beliau, orang Melayu adalah liberal progressif, berhemah pintar, tinggi moral dan yakin.

Oleh itu, katanya, tidak ada keperluan untuk mencontohi Umno dalam mengingatkan mereka mengenai keperluan untuk membela hak atau bersatu.

“Apa yang perlu diingatkan kepada mereka ialah dunia (ini) luas.

“Bukan orang Melayu memerlukan Umno, tetapi Umno yang memerlukan Melayu. Samalah parti baru,” katanya dalam satu siri posting di twitter petang semalam.

Kenyataan itu dibuat seiring dengan tindakan Muhyiddin mengemukakan permohonan mendaftarkan parti baru yang diterajuinya kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) di Putrajaya.

Parti baru itu eksklusif untuk kaum pribumi, manakala bangsa lain boleh menyertai sebagai ahli bersekutu.

Kenyataan Zaid itu jelas menunjukkan BERSATU bukannya menyatukan orang Melayu sebaliknya memecahbelahkan lagi orang Melayu di negara ini.