Khamis, Ogos 11, 2016

BN SABAH AKAN BINCANG AGIH 13 KERUSI TAMBAHAN

KOTA KINABALU, 10 Ogos (Bernama) -- Parti komponen Barisan Nasional (BN) Sabah akan berbincang secara muafakat pengagihan 13 kerusi tambahan selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mewartakannya, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.

Beliau berkata susulan sidang Dewan Undangan Negeri Sabah semalam meluluskan cadangan 13 kerusi tambahan itu, SPR yang akan menentukan kawasan berkenaan.


"Ini adalah atas budi bicara SPR di mana 13 kawasan (tambahan) itu nanti. Mereka (SPR) yang akan menentukannya.

"Kita (BN Sabah) akan berbincang secara muafakat antara parti komponen (berkaitan pengagihan kerusi)," kata Musa yang juga pengerusi BN negeri kepada pemberita selepas persidangan DUN Sabah, di sini hari ini.

Ketua menteri turut berpuas hati dengan perjalanan persidangan DUN sejak Isnin lepas, apabila lebih dua pertiga anggotanya, termasuk beberapa anggota pembangkang, bersetuju dengan cadangan untuk menambah 13 lagi kerusi dalam DUN Sabah.

"Sidang DUN pada kali ini amat bersejarah kerana kita telah meluluskan cadangan penambahan kerusi DUN Sabah daripada 60 sekarang kepada 73.

"Fokus kita adalah untuk memberikan perkhidmatan yang lebih berkesan dan menyeluruh kepada rakyat di seluruh pelusuk negeri," katanya.

Musa juga berkata kerajaan negeri sentiasa bersikap terbuka dan menerima pandangan serta cadangan yang terbaik untuk rakyat di Sabah.

"Cadangan yang baik, termasuk daripada pembangkang, wajar disokong untuk dilaksanakan demi manfaat rakyat.

"Suka saya tegaskan bahawa kerajaan negeri sentiasa memperjuangkan, memelihara dan menjaga kepentingan hak rakyat dan negeri Sabah pada setiap masa," katanya.

-- BERNAMA