Sabtu, Jun 18, 2016

MASTURA DIFITNAH DI SAAT SAAT AKHIR

KUALA KANGSAR, 17 Jun (Bernama) - Barisan Nasional (BN) mengesan satu taktik kotor saat akhir kempen pihak tertentu pada pilihan raya kecil (PRK) Kuala Kangsar, yang memfitnah calonnya Datin Mastura Mohd Yazid.

Pengerusi BN Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata taktik kotor itu ialah menggunakan penyata bayaran kepada firma guaman Mastura, Yazid Baba & Partners yang dibuat pada tahun 2012, bagi memburuk-burukkan calon BN itu .

"Slip (penyata) bank ini dijadikan bahan kempen seolah-olah Mastura menerima habuan sebanyak
RM500,000 pada pilihan raya ini daripada seseorang.

"Pada hakikatnya slip itu hanyalah bayaran atau pendahuluan kepada firma guaman Mastura, Yazid Baba & partners, di mana beliau merupakan seorang rakan kongsi," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Zambry yang juga Pengarah BN bagi PRK Parlimen Kuala Kangsar berkata adalah lumrah untuk sesiapa juga memasukkan wang ke dalam akaun firma guaman atas pelbagai tujuan seperti wang deposit pembelian rumah, bayaran perkhidmatan guaman, pembelian hartanah atau pembelian saham.

Menurutnya, akaun bank firma bukan akaun peribadi serta diaudit setiap tahun oleh Majlis Peguam dan peguam tidak boleh menggunakan wang berkenaan kerana ia melanggar etika.

"Jadi tidak timbul Mastura terlibat dalam aktiviti serta kegiatan yang melanggar undang-undang.

"Saya menyeru pengundi-pengundi Kuala Kangsar agar tidak terhasut dengan fitnah jahat ini," katanya sambil menyifatkan taktik berkenaan sebagai perbuatan jijik.

Zambry yang juga Menteri Besar Perak berkata penyebaran penyata bayaran itu di laman sosial dan menjadi viral dikesan kira-kira 4 petang tadi menerusi aplikasi WhatsApp dan telah mengarahkan supaya laporan polis dibuat dengan kadar segera.

PRK Parlimen Kuala Kangsar diadakan esok berikutan kematian Anggota Parlimennya Datuk Wan Mohammad Khair-il Annuar Wan Ahmad dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lalu.

PRK itu menyaksikan pertandingan empat penjuru antara BN, PAS, Parti Amanah Negara dan Bebas.

Sementara itu, Menteri Besar Terengganu Ahmad Razif Abdul Rahman berkata tindakan pihak tertentu yang menabur fitnah terhadap Mastura itu, menunjukkan mereka sanggup 'menghalalkan apa jua cara' bagi meraih undi.

"Tindakan agresif itu menunjukkan bahawa mereka tidak yakin boleh menang malah terdesak guna pelbagai cara.

"Mereka sanggup halalkan pelbagai cara dan sanggup melakukan apa sahaja," katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa Bersama Warga Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bunga Raya di sini, hari ini.

PDM Bunga Raya mempunyai 852 pengundi Melayu dan merupakan PDM angkat kepada negeri Terengganu bagi PRK Kuala Kangsar.