Ahad, Jun 19, 2016

NOMBOR 9191 DAN 6969 AKAN JADI REBUTAN HARI INI



Seperti mana dibimbangi parti pembangkang yang tidak mahu pertandingan tiga penjuru berlaku di PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar, maka BN yang mendapat kemenangan besar dalam kedua-dua PRK tersebut.

Ramai yang meramalkan calon BN, Budiman Mohd Zohdi akan menang dengan majoriti 2,000 lebih tetapi keputusan yang dicapai beliau amat mengejutkan di mana beliau menang dengan majoriti 9,191 undi.

Bukan sahaja Budiman yang terkejut malah PM, Najib Razak yang sedang berbuka puasa sendiri ketika menerima keputusan tersebut bagaikan tidak percaya. BN tidak menduga majoriti sebegitu besar kerana pada PRU 13 dalam pertandingan dua penjuru calon BN, Noriah Kasnon menang dengan majoriti 399 undi.

Budiman Mohd Zohdi,  menang kerusi Parlimen tersebut dengan majoriti 9,191 undi, sekali gus mengatasi jauh majoriti 399 undi yang diperoleh oleh bekas penyandang dari BN, Allahyarham Tan Sri Noriah Kasnon.

Budiman, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, memperoleh 16,800 undi untuk mengalahkan dua pencabarnya, Dr Abdul Rani Osman (PAS) yang menerima 6,902 undi dan calon Amanah, Azhar Abdul Shukur yang memperoleh 7,609 undi.

Meletakkan ADUN sebagai calon merupakan strategi baru BN kerana risiko meletakkan orang baru dalam masa 14 hari berkempen belum pasti calon baru boleh menang sedangkan Budiman sudah terkenal dalam DUN Sungai Panjang yang dimenanginya pada PRU13.

Kerja kuat Ketua Bahagian Sungai Besar, Jamal Mohd Yunus berbaloi kerana walaupun beliau bukan calon tetapi beliau bekerja seolah-olah beliau adalah calon BN. Maka PM wajar melantiknya sebagai Senator kerana beliau tidak sabotaj calon BN dan sudah tentu Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Noh Omar akan dilantik semula sebagai menteri dalam rombakan kabinet akan datang kerana kerja kuatnya yang menyebabkan majoriti kemenangan calon BN amat besar.

Jika pertandingan tiga penjuru berterusan pada PRU akan datang, BN mampu menawan balik Selangor. Seperti kata Naib Presiden Umno, Hishamuddin Hussein bahawa kemenangan di Sungai Besar akan menjadi pemangkin kepada usaha untuk merampas kembali Selangor pada tahun 2018.

Rakyat Sungai Besar sudah memberi isyarat kepada pembangkang. Jika mereka terus bercakar sesama sendiri BN akan menerajui semula Selangor selepas PRU akan datang. Prestasi Amanah di Sungai Besar lebih tinggi dari prestasi PAS kerana Amanah mendapat 7,609 undi mengatasi undi PAS sebanyak 6,902 undi disebabkan sokongan DAP di DUN Sekinchan.


Di Kuala Kangsar pula, ramai yang menjangka calon BN tewas kerana tidak mendapat sokongan dari Umno Bahagian tetapi ternyata ramalan itu meleset apabila calon BN, Mastura Yazid menang dengan majoriti besar juga 

Calon BN,  Mastura Mohd Yazid berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Kuala Kangsar yang disandang oleh suaminya, Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dengan majoriti 6,969 undi.

Dalam pertandingan empat penjuru, Mastura meraih 12,653 undi, calon PAS, Dr Najihatussalehah Ahmad (5,684), calon Parti Amanah Negara (Amanah), Prof Dr Ahmad Termizi Ramli (4,883) manakala calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary mendapat 54 undi.

Pada PRU13, Allahyarham Wan Mohammad Khair-il Anuar menang kerusi tersebut dengan majoriti 1,082 undi.

Kemenangan BN di Sungai Besar dan Kuala Kangsar membuktikan bahawa isu 1MDB, isu RM2.6 billion dan isu GST tidak memberi kesan kepada penduduk luar bandar. Mereka lebih berminat dengan isu tempatan malah PM sendiri telah meluluskan dua permohonan Mastura untuk penduduk Kuala Kangsar iaitu pembinaan jambatan Manong dan menaik taraf Kolej Ugama Sultan Azlan Shah (KUISAS) kepada universiti.

Ini juga kali pertama BN mengenukakan balu yang sedang dalam edah sebagai calon. Walaupun calon tidak dapat turun berkempen tetapi kemudahan internet berkempen melalui video, whatsapp, facebook tidak menghalang kemenangan Mastura. Mungkin selepas ini lebih ramai balu akan dipilih sebagai calon untuk meneruskan perjuangan bekas suami mereka.

Selepas BN menang besar di Sarawak, ramai yang berkata kemenangan BN di Sarawak bukan ukuran penerimaan rakyat terhadap kepimpinan Najib setelah dicemari dengan isu !MDB dan kisu derma RM2.6 billion. Mereka kata tunggu keputusan PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar. Ternyata kemenangan BN di Sungai Besar dan Kuala Kangsar membuktikan bahawa BN masih dapat sambutan pada PRU akan datang dengan syarat pertandingan tiga penjuru dikekalkan.

Bagi peminat nombor ekor, nombor majoriti BN iaitu 9191 dan 6969 akan jadi rebutan hari ini. Tahniah BN.