Sabtu, Jun 18, 2016

BUDIMAN YAKIN MENANG DENGAN MAJORITI LEBIH 1,000 UNDI

SUNGAI BESAR, 16 Jun (Bernama) -- Calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi yakin bahawa BN mampu mengekalkan kerusi Parlimen itu dengan majoriti lebih 1,000 undi pada PRK Parlimen Sabtu ini walaupun melihat dirinya sebagai calon "underdog."

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang itu berkata jumlah majoriti itu tidak mustahil dicapai meskipun pada pilihan raya umum (PRU) lepas BN hanya menang dengan majoriti 399 undi.

"Di peringkat awal lagi saya membawa diri saya sebagai calon 'underdog' tetapi saya bersedia untuk menang pada PRK ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran "Gelombang Biru" jentera Wanita BN yang disempurnakan oleh Pengerusi BN Selangor Tan Sri Noh Omar di sini Khamis.

Budiman turut menjangkakan lebih 70 peratus pengundi akan keluar mengundi berdasarkan 'track record' PRU sebelum ini ditambah dengan perancangan jentera parti yang memastikan pengundi keluar menunaikan tanggungjawab mereka.

Ketika ditanya mengenai tugas pertama yang akan dilakukan sekiranya dipilih sebagai Anggota Parlimen Sungai Besar, Budiman berkata beliau akan cuba menyelesaikan masalah membabitkan golongan nelayan, pesawah dan pekebun.

"Selain itu, saya juga akan melaksanakan ikrar saya yang merangkumi tiga aspek iaitu melibatkan pendidikan, inovasi ekonomi dan eko pelancongan di Sungai Besar," katanya yang turut ditemani isteri, Norma Aida Abdullah.

Mengenai harapannya dalam tempoh berkempen yang tidak sampai 48 jam lagi, Budiman berkata beliau akan meneruskan perjumpaan dengan kumpulan-kumpulan kecil dan akan "memendekkan" waktu tidurnya ke tempoh paling minimum.

Terdahulu, ketika berucap di majlis itu, Budiman berterima kasih kepada jentera Wanita BN yang bertungkus-lumus membantu kempen bagi memastikan kemenangannya pada PRK tersebut.

"BN tidak akan menang PRK tanpa sokongan dan bantuan daripada 'tulang belakang' parti iaitu Wanita BN. Bagaimanapun, kita perlu berwaspada supaya tidak menjadi seperti arnab dan kura-kura apabila arnab sudah mendahului dalam perlumbaan tetapi bila sampai di pertengahan jalan, arnab terleka.

"Sebab itu walaupun mood PRK ini milik BN tetapi kita tidak mahu terleka sebab kelekaan sesaat akan membawa kepada keburukan berpanjangan. Justeru, saya dengan rendah diri mohon restu dan sokongan daripada anda semua," katanya disambut sorakan dan tepukan kira-kira 3,000 jentera Wanita BN yang hadir pada majlis pelancaran itu.

Sementara itu, Noh dalam ucapannya turut memperakui kekuatan jentera Wanita BN dalam membantu kempen Budiman pada PRK itu.

"Wanita bukan sayap parti tetapi tulang belakang parti. Tanpa tulang belakang ini parti tidak akan hebat seperti sekarang. Jasa anda dalam membantu kempen sehingga sanggup tinggal anak, suami terutama pada bulan puasa ini amat tidak ternilai dan tidak terbayar oleh BN," katanya.

Pada PRK itu, calon BN itu ditentang calon PAS Dr Abdul Rani Osman dan calon Parti Amanah Negara (Amanah) Azhar Abdul Shukur.

PRK Parlimen Sungai Besar diadakan selepas penyandangnya Tan Sri Noriah Kasnon yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

-- BERNAMA





>> Senarai Berita