Isnin, Februari 29, 2016

NAJIB DAN ZAHID MAMPU PERKASAKAN UMNO



oleh SHAHBUDIN EMBUN
 (dipetik dari Berita Minggu, 28 Februari 2016)

Apabila tangan yang dihulurkan oleh Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin , tidak disahut dengan salam persaudaraan yang boleh terus memperkasakan UMNO, maka amat sukar untuk melihat gandingan Najib-Muhyiddin untuk terus memikul tanggungjawab  memimpin parti yang paling  utama di negara kita ini.


Tindakan Muhyiddin ketika itu telah mengecewakan ramai ahli UMNO ,khasnya di kalangan peringkat akar umbi. Mereka mahukan Muhyiddin untuk bersama-sama berjuang dengan Najib bagi menyelesaikan isu dan masalah yang menimpa UMNO ketika itu dan bukannya menambahkan lagi garam pada luka yang semakin parah.


Itulah sebabnya ramai pemimpin parti sehingga di peringkat akar umbi bersetuju dengan tindakan Majlis Tertinggi UMNO untuk menggantung Muhyiddin Yassin yang ternyata terus menyerang Najib secara bertubi-tubi.Tindakan agresif Muhyiddin dilihat sebagai satu usaha yang boleh melemah dan memecahbelahkan parti.


Mungkin perkara yang tidak boleh diterima oleh mereka ialah Muhyiddin bukan sahaja bertindak sebagai seorang “pembangkang” , tetapi tidak memberikan sebarang jasa dan  sumbangan kepada parti,khasnya  sejak beliau mengistiharkan “perangnya” terhadap Najib.


Sungguhpun begitu,  masih ada yang menganggap tindakan menggantung Muhyiddin merupakan satu tindakan yang kurang bijak kerana akan menjejaskan kekuatan dan perpaduan dalam UMNO.


Namun perlu diingatkan juga bahawa pada masa yang sama, keputusan ini sebenarnya boleh membantu menguatkan parti kerana presiden parti memerlukan timbalan yang menjalankan tugas dan terus membantu beliau, dan bukannya yang terus mempersoalkan beberapa tindakan presiden parti.


Berikutan keputusan itu juga, Timbalan Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, akan menjalankan tugas timbalan presiden parti. Sememangnya, tidak dapat dinafikan lagi,  Zahid Hamidi merupakan pemimpin yang paling layak untuk menduduki kerusi nombor dua dalam parti UMNO.


Dan sehingga hari ini, gandingan Najib Razak dan Zahid Hamidi ternyata merupakan satu kombinasi yang seimbang dan dinamik. Semakin hari , ahli-ahli UMNO semakin mempercayai dan bertambah yakin yang gandingan padu ini akan membawa UMNO ke arah kejayaan yang lebih cemerlang.


Penulis sempat bertemu dengan Zahid Hamidi di Alor Gajah, di satu majlis perkahwinan anak sahabat kami.Penulis sempat berbincang dengan beliau dan daripada perbualan kami,ternyata Zahid Hamidi begitu prihatin dan mengambil berat akan masa depan UMNO.


Penulis dapat merasakan  yang Zahid Hamidi lebih mementingkan perpaduan ,aspirasi serta dasar yang diperjuangkan oleh UMNO.”Inilah masanya untuk terus melihat ke hadapan dan membuktikan yang UMNO akan terus memperjuangkan nasib bangsa Melayu dan rakyat Malaysia umumnya. Itulah matlamat kita”, jelas beliau lagi.


Apa yang dinyatakan oleh Zahid  Hamidi membuktikan  keputusan yang dibuat oleh UMNO adalah demi kepentingan parti dan negara .


Kita tidak boleh menghalang manusia dari terus bersuara. Dan pastinya isu perggantungan  Muhyiddin Yassin akan  menjadi topik yang hangat untuk dibahas dan dibincangkan, khasnya di kalangan ahli-ahli UMNO.Namun perbincangan dan perbahasan yang berterusan pada topik ini, tidak akan membawa UMNO  ke mana-mana.


Keputusan telah dibuat dan itulah keputusan yang sebaik-baiknya demi survival UMNO. Inilah masanya untuk menghentikan isu ini dan terus merangka program  dan tindakan untuk berdepan dengan cabaran yang lebih getir. Perlu diingatkan bahawa Pilihan Raya Umum akan berlangsung dalam masa dua tahun. Jika dari sekarang persediaan rapi tidak dibuat, jangan terkejut jika UMNO akan menghadapi masalah yang lebih besar untuk memenangi hati rakyat.


Itulah sebabnya, adalah lebih baik baki masa ini digunakan untuk  memberikan penjelasan kepada rakyat tentang pelbagai isu serta tohmahan dan fitnah yang dilemparkan kepada pucuk pimpinan UMNO.
Sumbangan dan perjuangan UMNO sudah lama terpahat dalam sejarah negara.Dan UMNO juga telah melalui pelbagai ranjau dan liku dalam perjuangannya. Adalah menjadi harapan seluruh warga UMNO, krisis yang dilalui ini akan dijadikan sebagai teladan dan pengajaran  bagi terus memperkukuh dan memperkasakan UMNO sebagai parti yang akan terus memartabatkan kedudukan bangsa Melayu dan bersama-sama menabur jasa kepada seluruh rakyat Malaysia amnya.

CATATAN: Gambar di atas gambar penulis dengan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi 13 tahun lepas.lepas