Ahad, Februari 28, 2016

LATIFAH OMAR SERASI DENGAN NORDIN AHMAD


HIBURAN






Ahad lepas saya  telah menulis tentang pelakon terkenal Nordin Ahmad. Kalau bercakap tentang pelakon tersebut, ia tidak sah kalau tidak disebut nama seniwati Latifah Omar.

Mereka berdua adalah pelakon serasi yang selalu digandingkan dalam filem-filem yang mendapat sambutan box office ketika itu. Seperti kata P. Ramlee, ibarat irama dan lagu tidak dapat dipisahkan. Begitulah di atas layak perak gandingan Nordin Ahmad-Latifah Omar tidak dapat dipisahkan.

Latifah Omar berlakon ketika berusia 14 tahun, lebih muda setahun dari Kasma Booty, seorang lagi seniwati terkenal.

Beliau dilahirkan pada 26 Mac 1939 di Kampung Baru, Kuala Lumpur dan meninggal dunia pada 10 Jun lalu. Jenazah seniwati Latifah Omar atau nama sebenarnya Fatimah Omar, 74, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU4, Lembah Keramat, pada pukul 11.20 pagi pada hari tersebut.

Allahyarham meninggal dunia akibat komplikasi selepas menjalani pembedahan usus kerana penyakit ulser yang dihidapinya.

Latifah berpindah mengikut ibunya ke Singapura pada 1948, kemudian (1953) buat pertama kalinya menghadapi kamera sebagai teman sekolah Dahlia (Norsiah Yem) dalam filem “Dahlia” (keluaran Keris Film) yang diarahkan B.S. Rajhans.

Pada tahun 1953 itu juga, Latifah diambil oleh K.R.S. Sastry berlakon dalam filem “Kerana Kau” yang turut dibintangi Mariam, Omar Rojik, Muhammad Hamid dan Sa’adiah.

Bagaimanapun peranannya terlalu kecil sehinggakan namanya tidak tercatat di ‘credit title’.

Tahun berikutnya (1954), atas kehendak P. Ramlee, Latifah (dalam filem dieja Latiffa) berlakon sebagai heroin kedua (gadis pulau bernama Melati) dalam filem “Panggilan Pulau” (MFP) arahan S. Ramanathan.

Ketika berlakon dalam filem ini, Latifah dikatakan bercinta dengan P. Ramlee. Tetapi mereka tidak jadi kahwin kerana P. Ramlee terlihat gambar Latifah memakai bikini dalam sebuah majalah hiburan.

Dalam filem yang mendapat sambutan hangat itu, Latifah tidak dapat memperlihatkan kebolehan berlakon yang sebenar, cuma apabila B.N. Rao menyerahkan peranan Aminah dalam “Merana” terserlah kehebatan lakonannya kerana dalam filem tersebut fokus lebih tertumpu kepadanya jika di bandingkan P. Ramlee.

Begitupun juga, dalam “Insan” (K.M. Basker) dan “Empat Isteri” (B.S. Rajhans) peranannya tidak boleh dianggap sebagai heroin seperti “Merana” kerana adanya Sa’adiah dan Siput Serawak (“Insan”) serta Saloma, Mariani dan Normadiah (“Empat Isteri”).

Pada tahun 1956, S. Ramanathan mengandingkannya dengan Yusof Latiff dalam “Bernoda”, dan seterusnya “Menyerah” (K.M. Basker) sekali lagi berherokan Yusof Latiff dan akhir sekali “Putera Bertopeng” (K.M. Basker) dengan Ahmad Mahmud sebagai heronya.

Agak menarik, pengunduran diri Latifah dari Malay Filem Production (MFP) sama dengan berhentinya Nordin Ahmad (filem terakhirnya “Belantara”) setelah kontraknya tamat kemudian mendapat tawaran yang lebih baik di Cathay-Keris.

Agak sedih, bagi Latifah (bergaji bulan) dia terpaksa memberi notis sebulan kerana adanya pertikaian antara dia dengan pihak majikan (MFP) disebabkan tidak menghadirkan diri dalam satu majlis yang ada hubungkait dengan filem – sehingga sampai ke peringkat dia di marahi.


Kemarahan MFP itu jelas di terjemahkan dalam filem “Putera Bertopeng” apabila namanya di ‘credit title’ di potong. Nama Ahmad Mahmud, Normadiah, Haji Mahadi, Aziz Sattar dan lain-lain yang berkenaan semua ada, tetapi nama Latifah tiada.

Di Cathay-Keris, filem pertamanya “Selendang Delima” (filem keempatnya dengan K.M. Basker) kemudian diikuti “Serangan Orang Minyak” (pertama kali berlakon dibawah arahan L. Krishnan).

Bersama Nordin Ahmad, Latifah sering digandingkan. Filem-filem lakonan mereka yang mendapat sambutan termasuklah “Hang Jebat”, “Lanchang Kuning”, “Laila Majnun”, “Chuchu Datok Merah”, “Gul Bakawali”, “Patong Chendana” dan “Gurindam Jiwa”.

Lain-lain filem Latifah di Cathay-Keris antaranya “Raden Mas”, “Bawang Puteh Bawang Merah”, “Che Mamat Parang Tumpol”, “Chelorong Cheloreng”, “Bayangan Di Waktu Fajar”, “Rumah Itu Dunia Aku,” “Kalong Kenangan,” “Wan Perkasa,” “Kaseh Ibu,” “Chinta Kaseh Sayang,” “Ikan Emas” dan “Naga Tasek Chini.”

Apabila dunia perfileman Melayu mulai menampak kemerosotan, Latifah menghilangkan diri. Tetapi kemudian pada 1971, P. Ramlee mengambilnya berlakon dalam filem “Putus Sudah Kaseh Sayang” iaitu pertemuan semula P. Ramlee-Latifah selepas “Merana” (1954).

Filem terakhir Latifah “Hati Batu” (1973) arahan M. Amin (yang merupakan juga filem terakhir keluaran Cathay-Keris) yang turut di bintangi S. Azam, Fauziah Ahmad Daud, M. Shahdan dan Salleh Melan.