Semalam bekas Presiden Umno, Dr Mahathir Mohamad mengumumkan keluar dari Umno sempena tahun lompat, 29 Februari 2016. Ini kali kedua beliau berbuat demikian. Pada 19 Mei 2008, beliau keluar dari Umno buat kali pertama kerana kecewa dengan PM ketika itu, Pak Lah.
Namun demikian beliau menyertai semula Umno pada 4 April 2009 setelah Najib Razak menjadi PM. Oleh itu tindakan Dr Mahathir keluar dari Umno bukan sesuatu yang mengejutkan sebaliknya sudah dijangka selepas gagal menjatuhkan Najib secara demoktraik melalui undi tidak percaya di parlimen.
Dr Mahathir buat Umno seperti hotel, bebas keluar masuk. Hari ini masuk hotel, esok keluar hotel. Lepas itu masuk balik hotel dan keluar semula. Bagi saya, bila Dr Mahathir keluar dari Umno, lebih mudah bagi kita menyerang Dr Mahathir kerana dia kini musuh utama Umno kerana beliau bersekongkol dengan pembangkang untuk menjatuhkan BN.
Jangan salahkan Umno jika Umno menyerang Dr Mahathir secara terbuka. Ini budaya yang Umno pelajari dari Dr Mahathir. Apabila Ku Li tidak dibenarkan menyertai Umno pada tahun 1988, Dr Mahathir arahkan para pemimpin Umno menyerang Ku Li habis habisan. Begitu juga apabila Anwar dipecat dari Umno pada tahun 1998, Dr Mahathir arahkan para pemimpin Umno membelasah Anwar secukup-cukupnya. Jadi kini giliran Umno pula menghentam Dr Mahathir kerana beliau bukan lagi ahli Umno.
Para pemimpin Umno lebih bersatu apabila Dr Mahathir sudah menjadi musuh mereka. Dr Mahathir keluar dari Umno pada tahun 2008, BN tetap menang PRU pada tahun tersebut. Oleh itu jangan bimbang dengan tindakan terbaru Dr Mahathir ini, kerana ahli Umno yang tulen akan terus mempertahankan BN ke titisan darah yang terakhir dalam PRU akan datang.
Dr Mahathir seorang yang gentleman kerana buat keputusan keluar dari Umno. Beliau lebih mulia dari Muhyiddin Yasin yang terus menghentam Najib selepas digantung jawatannya. Bila lagi Muhyiddin nak ikut jejak langkah Dr Mahathir?
Seperti kata bekas Setiausaha Agung Umno, Sanusi Junid, pada tahun 1988, Umno lebih mudah menghadapi Ku Li kerana pengikutnya keluar dari Umno dan menyertai Semangat 46 tetapi sebaliknya pada tahun 1998, Umno sukar kerana Anwar dipecat dari Umno tetapi para pengikutnya kekal dalam Umno. Oleh itu musuh dalam selimut lebih bahaya dari musuh yang sebenar.
Justru itu tindakan Dr Mahathir keluar dari Umno, lebih mudah bagi Umno untuk menyerangnya/ Dr Mahathir meneruskan tradisi bekas presiden Umno mati di luar Umno seperti Dato Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman dan Hussein Onn. Selamat berjuang di luar Umno, Dr Mahathir.