Umno bukannya takut kepada tunggul tetapi Umno tidak mahu mengeruhkan suasana sepanjang perhimpunan agung Umno minggu hadapan. Justru itu isu timbalan presiden Umno, Muhyiddin Yasin yang menganggap dirinya sebagai tunggul kerana tidak diberi peluang berucap minggu hadapan tidak timbul sama sekali.
Cuba bayangkan jika Muhyiddin diberi peluang berucap menggulung perbahasan, beliau menyindir Najib Razak, sudah tentu penyokong Najib marah dan suasana kecoh ini memang suka disorot oleh wartawan asing yang mahu menonjolkan Malaysia bukan negara aman lagi. Ini membuatkan pelabur asing akan lari dari negara ini. Maka keputusan yang dibuat oleh majlis tertinggi Umno adalah yang terbaik untuk mententeramkan keadaan.
Tambahan pula Muhyiddin bukannya ada pengaruh. Beliau bukan ketua pemuda seperti Dr Zahid Hamidi dan Hishamudin Hussein. Anwar Ibrahim dahulu bekas ketua pemuda sebab itu pemecatan beliau dari Umno menyebabkan Umno kehilangan Terengganu pada PRU 1999. Kalau Muhyiddin dipecat dari Umno pun, Johor tak akan tumbang kepada Pakatan Harapan. Sehebat-hebat Musa Hitam pun Umno tak kalah pada PRU 1986 selepas Musa Hitam meletakkan jawatan sebagai TPM. Siapalah Muhyiddin berbanding dengan Musa Hitam?
Cuma beliau kelihatan bersih walaupun banyak isu timbul ketika beliau menjadi MB Johor di mana banyak tanah Johor dijual kepada orang Singapura. Malah ketika beliau menjadi TPM pun, orang mempertikai kenapa sistem 6P membekal mesin thumb print diberi kepada menantunya sedangkan beliau adalah pengerusi jawatankuasa pekerja asing.
Muhyiddin bukan setaraf Anwar Ibrahim. Ada dia pun dalam Umno tak ada kesan, tak ada dia pun tak ada kesan. Cuma rakyat simpati pemecatan beliau dari jawatan TPM kerana mempersoalkan isu 1MDB.
Seperti kata Dr. Asraf Wajdi Dusuki dalam TV3 dua malam lepas, dalam mesyuarat sesiapa sahaja bebas memberi pandangan. Tetapi apabila keputusan sudah dicapai secara konsensus maka orang yang ideanya ditolak kena menerima pandangan ramai. itulah konsep demokrasi yang sebenar.
Sebaliknya Muhyiddin terus mempertikaikan 1MDB di luar mesyuarat majlis tertinggi yang menunjukkan beliau yang tidak memahami konsep demokrasi. Atau dia ada niat untuk menajtuhkan najib yang disokong oleh bekas PM, Dr Mahathir Mohamad?
Najib sebenarnya salah memilih timbalan presiden pada tahun 2009. Sepatutnya beliau menyokong Ali Rustam bertanding jawatan itu dan bukannya menyokong Muhyiddin yang sudah ada rekod melawan ketua. Muhyiddin selaku timbalan menteri mengalahkan guru politiknya Othman Saat dalam pertandingan ketua bahagian Umno Pagoh pada tahun 1984 sedangkan bekas MB Johor itu yang membawa Muhyiddin menyertai Umno.
Rekod tidak kenang budi kepada ketua sudah ada pada Muhyiddin tetapi Najib jenis tidak kesah. Inilah kesilapan Najib yang sebenarnya.
Muhyiddin bukannya ada pengaruh. Hanya di beberapa bahagian sahaja yang menyokongnya kerana dia tak pandai tolong ketua bahagian. Muhyiddin tidak seperti Anwar sewaktu menjadi menteri pelajaran menolong ketua bahagian memberi projek. Sebaliknya Muhyiddin menolong YTL sahaja sewaktu menjadi menteri pelajaran.
Justru itu jika beliau bertanding jawatan Presiden Umno pada tahun 2018, beliau hanya akan mendapat 25 undi sahaja kerana kemenangan di satu bahagian dianggap sebagai satu undi. Melainkan perlembagaan Umno 1988 dipinda seperti Umno 1946 di mana setiap pertandingan hanya memerlukan dua pencalonan sahaja. Kalau Umno sekarang seperti Umno lama, memang berpeluh Najib menghadapi pertandingan 2018.