Khamis, Disember 03, 2015

MAHATHIR SUDAH LUPA

Bekas Perdana Menteri,  Dr Mahathir Mohamad mengeluh bahawa dia tidak lagi mengenali  Umno hari ini yang menghalang timbalan presiden parti  Muhyiddin Yassin daripada menyampaikan ucapan penggulungan.
Bekas presiden Umno selama 22 tahun itu berkata pada pemilihan parti sebelum ini, beliau tidak pernah menghalang Tengku Razaleigh Hamzah daripada menjelajah ke seluruh negara untuk mengkritik beliau, dan ini termasuk kepada Pak Lah (  Abdullah Ahmad Badawi).
"Hari ini, kita ada presiden parti (Datuk Seri Najib Razak), bukan pada pemilihan (parti) tetapi menghalang orang daripada menyampaikan ucapannya. Ini bukan Umno saya kenali," katanya kepada pemberita.
"Mereka langgar tradisi parti."
Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Muhyiddin hari ini bahawa dia dihalang daripada berucap pada sesi penggulungan perhimpunan agung Umno, minggu depan.
Sebelum ini, Majlis Tertinggi Umno juga memutuskan Muhyiddin selaku timbalan presiden tidak akan merasmikan sayap-sayap Umno tetapi sebaliknya ketua masing-masing akan berbuat demikian.
Nampaknya Dr Mahathir sudah lupa. Memang benar dia membenarkan Ku Li menentangnya bagi jawatan presiden Umno pada 24 April 1987, tetapi dia menang secara tidak bermoral dengan majoriti 43 undi.

Dikatakan sewaktu mengira undi, ada penipuan maka Ku Li yang dapat 37 pencalonan sahaja kalah tipis di tangan Dr Mahathir yang mendapat 100 lebih pencalonan. Selepas itu apabila penyokong Ku Li membawa ke mahkamah kerana tidak puas hati dengan kekalahan Ku Li mahu mahkamah mengisytiharkan pemilihan itu tidak sah dan mereka mahu pemilihan diadakan semula tetapi Dr Mahathir lebih rela Umno diharamkan oleh hakim Harun Hashim. 

Dr Mahathir sudah tahu kalau pemilihan diadakan semula beliau akan kalah, jadi beliau lebih rela lihat Umno diharamkan supaya Umno baru dapat ditubuhkannya. Apabila Umno baru ditubuhkan, beliau tidak membenarkan Ku Li dan Musa Hitam menyertai semula Umno baru.
Selepas menang jawatan Presiden Umno,  beliau merombak kabinet dengan memecat semua menteri dan timbalan menteri yang menyokong Ku Li  seperti Pak Lah,  Radzi Sheikh Ahmad, Kadir Sheikh Fadzir, Shahrir Samad, Zainal Abidin Zin dan ramai lagi walaupun mereka menang kerusi majlis tertinggi Umno.
Pak Lah dari team B menang jawatan naib presiden Umno tetapi Dr Mahathir memecatnya sebagai Menteri Pertahanan. Adakah Dr Mahathir menghormati kehendak perwakilan yang memilih Pak Lah? Oleh itu kalau anda tuduh Najib tidak menghormati perwakilan Umno yang memecat naib presiden Shafie Apdal dari jawatan menteri, sebenarnya Najib berguru dengan anda, Dr Mahathir.
Najib memecat Muhyiddin dari jawatan TPM tetapi Najib tidak memalukan Muhyiddin seperti mana anda memecat Anwar Ibrahim dengan memalukan Anwar kononnya Anwar meliwat pemandunya Azizan Abu Bakar. Mahkamah  Persekutuan melepaskan Anwar kerana Anwar tidak bersalah melakukan jenayah tersebut di zaman Pak Lah.
Siapa yang lebih zalim? Dr Mahathir atau Najib Razak? Najib hanya memecat dua orang sahaja menteri yang tidak sebulu dengannya iaitu Muhyiddin Yasin dan Shafie Apdal tetapi Dr Mahathir memecat lima orang menteri dan timbalan menteri.
Dr Mahathir sudah lupakah? Beliau yang takut dengan pertandingan maka dalam Umno baru dipinda perlembagaan sesiapa nak bertanding jawatan presiden kena ada 50 pencalonan. Siapa yang berani mencalonkan orang lain di bawah sistem pemilihan yang baru itu? Memang sukar nak dapat 50 pencalonan. Jadi siapa yang lebih demokratik Dr Mahathir atau Najib yang menghapuskan sistem kuota itu pada tahun 2009?
Oleh itu sebelum menuduh Najib melanggar tradisi parti, Dr Mahathir patut lihat dirinya sendiri terlebih dahulu. Atau adakah Dr Mahathir sudah lupa atau buat buat lupa?