Heboh seluruh negara Umno tidak membenarkan timbalan presidennya, Muhyiddin Yasin merasmikan persidangan serentak pemuda, wanita dan puteri minggu depan. Itu pun dijadikan isu. Ia tidak tercatat dalam perlembagaan Umno bahawa timbalan presiden diwajibkan merasmikan persidangan serentak ketiga-tiga sayap Umno itu.
Ia cuma tradisi maka apa salahnya tradisi itu diubah di mana ketua pemuda, ketua wanita, ketua puteri merasmikannya. Kerana itu kehendak mereka bertiga yang tidak mahu Muhyiddin menghasut mereka jika Muhyiddin dibenarkan berucap.
Kalau Muhyiddin diberikan peluang berucap, ucapannya tidak ada pengaruh. Sekadar melepaskan geram kepada Najib Razak yang memecatnya sebagai TPM. Umno boleh beri Muhyiddin berucap tetapi tak manis bila seluruh dunia melihat orang nombor dua dalam parti menghentam ketuanya sendiri dalam perhimpunan tahunan pula. Maka lebih baik tak beri Muhyiddin merasmikannya.
Dua hari lepas Muhyiddin menghentam Najib di Pagoh. Cuba bayangkan jika Muhyiddin diberi peluang berucap di perhimpunan agung Umno, hentaman Muhyididn sudah tentu menimbulkan kemarahan para penyokong Najib. Maka suasana kecoh berlaku di dalam Dewan Merdeka. Justru itu lebih baik Muhyiddin tidak dibenarkan berucap termasuk sewaktu menggulung perbahasan.
Lagipun ucapan Muhyiddin tidak berkesan mana. Sewaktu merasmikan persidangan serentak pemuda, puteri dan wanita tahun lepas Muhyiddin mencadangkan supaya pemilihan Umno tetap diadakan pada tahun depan (2015) dan jangan ditangguhkan selepas PRU. Tetapi ucapan itu langsung tidak diulas oleh tiga sayap yang menunjukkan mereka lebih suka pemilihan diadakan selepas PRU di mana tradisi penangguhan pemilihan Umno selama 18 bulan diamalkan di zaman Dr Mahathir Mohamad.
Oleh itu jika Muhyiddin tidak dibenarkan merasmikan persidangan tiga sayap dan tidak dibenarkan berucap sewaktu penggulungan nanti, ia bukan lagi tradisi Umno. Ia adalah transformasi Umno yang mana Umno sekarang adalah Umno 1988 dan bukannya Umno yang dilahirkan pada tahun 1946.
Umno 1946 sesiapa sahaja bebas bertanding presiden Umno dengan dua pencalonan sahaja tetapi Umno 1988 mengubah tradisi ini. Najib mengubah sistem kuota yang diperkenalkan Dr Mahathir dan beri peluang kepada semua perwakilan bahagian memilih majlis tertinggi Umno yang lebih sukar untuk mengalahkan penyandang jawatan. Sebab itu jika Muhyiddin lawan Najib pada 2018, memang sukar bagi Muhyiddin mendapat undi kerana keputusan pemilihan satu bahagian dianggap satu undi.
Di zaman Dr Mahathir pelbagai tradisi Umno diubah. Begitu juga dalam kerajaan. Dr Mahathir sanggup membuang duit rakyat dengan mengadakan pilihan raya kecil untuk melantik pengganti Muhammad Mohd Taib sebagai MB Selangor. Sedangkan Dr Mahathir boleh pilih dari kalangan ADUN BN yang ada. Tetapi oleh kerana Umno dipimpin ikut selera Dr Mahathir, maka Abu Hassan Omar diarah bertanding di DUN untuk dilantik MB.
Ini menunjukkan bahawa tradisi Umno boleh diubah mengikut selera presiden parti. Yang tidak boleh diubah hanya al quran sahaja. Itu pun pemimpin Umno yang ramai tidak ikut ajaran al quran dengan menyimpan perempuan, minum arak dan berjudi di Genting Highlands.