Ahad, September 20, 2015

ZAMLI DALAM KENANGAN

Malam tadi tepat 11.30 malam Presiden Kolej Islam Sains Teknologi (KIST), Muhammad Zamli Abdullah, 47, meninggal dunia di Hospital HUSM, Kota Bharu, Kelantan. Beliau akan dikebumikan di tanah perkuburan Jabor, Chukai, Kemaman pagi ini.

Lima bulan lepas saya terlibat dengan KIST secara kebetulan apabila seorang kawan, Yazman Nordin menyuruh saya mencari pembeli untuk bangunan KIST di Sri Hartamas, Plaza Damas. Saya menghubungi kawan saya yang rapat dengan CEO Shapadu kot kot Shapadu mahu membeli 14 unit rumah kedai di Plaza Damas.

Shapadu tidak berminat membeli bangunan tersebut. Maka saya hubungi Pengerusi PUNB, Ali Rustam yang mahu membeli satu unit sahaja. PUNB kata ROI tidak cukup untuk membeli 14 unit bangunan tersebut maka KIST tak jadi menjual satu unit kerana KIST mahu menjual semua 14 unit.

Ketika berurusan dengan KIST, saya mengenali Pengarah Komunikasinya Datin Haslina Abdullah yang merupakan adik kepada pemilik KIST, Zamli Abdullah. Apabila mengetahui Datin orang Kg. Besut, Chukai membuatkan saya yang juga orang Kemaman semakin bersemangat mahu menolong KIST. Tambahan pula KIST banyak harta untuk dijual di Kuala Berang sebanyak 100 ekar tanah, di Cyberjaya 133 ekar dan di Lundang 2 ekar. Suami Datin ialah Dato Bahari, Pengarah Operasi Khas SPRM yang tak jadi ditukarkan ke JPM baru-baru ini. Saya pernah menemui Dato Bahari di rumahnya ketika membuat tahlil. Beliau yang berasal dari Rantau Panjang,Kelantan merupakan seorang yang pendiam.

Maka saya berikrar kepada Datin untuk menguruskan jualan semua hartanahnya. Sewaktu abangnya, Zamli datang ke KL pada bulan Ramadhan lalu saya menemui beliau buat kali pertama. Rumahnya dekat dengan rumah arwah Ketua Pemuda Umno Kemaman, Nazri Salleh. Malah kegigihan Zamli patut dicontohi oleh anak muda.

Zamli hanya berkelulusan SPM sahaja. Tetapi sebagai pemilik kolej swasta, semua pensyarah yang berkelulusan Phd, Masters berada di bawah arahannya. Beliau pada mulanya bekerja sebagai pam attendant di stesen minyak Esso milik arwah Nazri Salleh. Akhirnya buat bisnes buka kelas jahitan yang mendapat dana dari Kementerian Sumber Manusia  (KSM) di Chukai.

Sewaktu berurusan dengan KSM, Zamli mengenali timbalan menterinya, Dato Dr Latif Ahmad. Semakin maju kelas jahitannya Dr Latif mencadangkan Zamli memohon lesen kolej swasta. Dr Latif memperkenalkan Zamli kepada Menteri Pengajian Tinggi, Dato Seri Khaled Norden.

Beliau berjaya membuka KIST di Kuala Berang, Terengganu dengan melantik Dato Tengku Putera Awang sebagai Pengerusi KIST. Oleh kerana isteri Zamli orang Kelantan, maka cawangan KIST dibuka juga di Bachok, Kelantan.

Dalam keghairahan mengembangkan KIST, Zamli dikelilingi oleh punahsihat yang mengambil kesempatan daripadanya. Dari satu lesen kolej, KIST memohon lapan lesen kolej termasuk di Sabah dan Sarawak. ketika ini beliau dijanjikan SME Bank untuk pinjaman dengan mencagar tanah di Kuala Berang seluas 100 ekar. Janji itu tidak ditepati. Beliau hanya diberi pinjaman yang sedikit tidak mampu menampung lapan cawangan kolej yang ada di Kedah, Melaka, Pahang, Johor, Sabah, Sarawak. Justru itu  KIST mengalami masalah kewangan yang teruk.

Maka KIST terpaksa menjual semua bangunan dan tanah yang ada. Zamli telah memberi amanah kepada saya untuk urusan jualan semua hartanah KIST. Setelah lima bulan berusaha, dua minggu lepas seorang pembeli berminat membeli 14 unit bangunan KIST di Plaza Damas dengan harga RM20.5 juta. LOI sudah keluar. Sedang menunggu proses bayaran sahaja dari pembeli ini. Dengan kematian Zamli mungkin proses bayaran ini tertangguh. Sekurang-kurangnya RM20.5 juta ini dapat menyelamatkan KIST kerana KPT sudah memberi tempoh enam bulan kepada KIST untuk menyelesaikan masalah kewangan yang dihadapinya.

Mujur sewaktu Zamli mengendalikan KIST, beliau banyak membeli tanah dan bangunan. Maka tanah dan bangunan itu apabila dicairkan akan dapat menyelamatkan KIST. Alfatihah untuk arwah Zamli bin Abdullah.