Sabtu, Ogos 08, 2015

IBRAHIM ALI TETAP POPULAR

Malam tadi saya dengan Hidayat Fansuri menghadiri majlis rumah terbuka Presiden Perkasa, Ibrahim Ali di kediamannya di Taman Melawati. Walaupun beliau bukan lagi ahli parlimen Pasir Mas, tetapi beliau tetap popular.

Hampir 5 ribu orang mengunjungi majlis adilfitri beliau membuktikan tanpa jawatan dalam kerajaan, Ibrahim Ali tetap ramai kawan. malam tadi ramai yang datang ke rumahnya termasuk tengku Razaleigh Hamzah ( Ku Li), Rais yatim, Zainuddin Maidin, Khalid Yunus, Annuar Musa, Manan Othman dan Dr Yusof Noor.

Seprti juga Dr Ahmad Zahid Hamidi, saya mengenali Ibrahim Ali pada tahun 1987 ketika bekerja sebagai wartawan akhbar Watan. Ketika itu beliau sudah menjadi ahli parlimen Pasir Mas.



Pada tahun 1982, beliau membawa Presiden ABIM, Anwar Ibrahim menemui Ku Li yang kalah dalam pertandingan timbalan presiden Umno pada tahun 1981 dengan Musa Hitam.

Kekalahan itu berpunca sokongan ketua pemuda, Suhaimi Kamaruddin kepada Musa. Maka Ku Li mahu seorang calon yang dapat menewaskan Suhaimi. Maka Ibrahim selaku bekas ketua pemuda Berjasa nampak Anwar yang mampu mengalahkan Suhaimi.

Maka Ku Li membawa Anwar menemui Dr Mahathir Mohamad dan Anwar bersetuju aktif dalam Umno yang menyebabkan ramai penyokong ABIM kecewa dengan tindakan Anwar. Anwar pun masuk Umno pada Mac 1982 dan sebulan kemudian beliau bertanding di Permatang Pauh merampas kerusi PAS mengalahkan Haji Zabidi Ali.

Pada September 1982, Anwar yang baru sembilan bulan aktif dalam Umno berjaya mengalahkan Suhaimi kamaruddin dengan majoriti 10 undi. Maka jasa Ibrahim Ali besar dalam Umno membawa Anwar menyertai Umno. Ku Li harapkan Anwar menyokongnya untuk menentang Musa kali kedua pada tahun 1984. Sebaliknya Anwar mematuhi arahan Dr Mahathir yang masih mahu Musa sebagai timbalannya.

Pada tahun 1982, Ibrahim Ali tak dapat jadi calon. Tetapi beliau menang Exco Pemuda Umno pada tahun yang sama serentak dengan Anwar yang mengalahkan Suhaimi. Pada tahun 1986, beliau dipilih ahli parlimen pasir mas.

Sebagai anak kelantan beliau menyokong Ku Li menentang Dr mahathir pada tahun 1987 bagi jawatan presiden Umno. Apabila Ku Li menyertai Semangat 46, Ibrahim Ali turut mengikut Ku Li dan dilantik ketua pemuda Semangat 46.

Pada tahun 1990, beliau menang ahli parlimen Semangat 46 di Pasir Mas. Beliau lantang mengkritik Dr Mahathir tetapi semua terkejut apabila Ibrahim meninggalkan Semangat 46 dan menyertai semula Umno. Beliau menjadi panglima kuat Dr Mahathir pula.

Pada tahun 1995, beliau tewas tetapi dilantik Senator dan setiausaha parlimen kementerian pembangunan luar bandar dan wilayah. Pada tahun 1998, beliau dilantik timbalan menteri di jabatan perdana menteri selepas Anwar dipecat dari Umno.

Beliau antara orang yang lantang mempertahankan Dr Mahathir dalam mesyuarat majlis tertinggi yang memecat Anwar dari Umno. Pada tahun 2003, beliau digugurkan sebagai ketua penaja Umno Bahagian Pasir Mas oleh Tok Pa.

Maka pada tahun 2004, beliau bertanding sebagai calon bebas di parlimen Pasir Mas menentang calon BN, Rahim Abdul Rahman dan calon PAS. Pada tahun 2008, beliau bertanding atas tiket PAS dan menang. Pada tahun 2013, beliau tidak lagi diberi peluang oleh PAS bertanding kerana dia banyak mengkritik PAS, maka beliau sekali lagi bertanding sebagai calon Bebas menentang PAS apabila calon BN tidak muncul di hari penamaan calon, Johan Che Pa.

Ibrahim kalah kali ini. Sejak 2013, kita tidak lagi mendengar suara lantang Ibrahim di parlimen. Tetapi sejak 2008 lagi beliau menaja NGO Perkasa yang mengambil alih tugas Umno dalam memperjuangkan hak orang Melayu. Ibrahim digelar sebagai rasis oleh pembangkang kerana Pemuda Umno sendiri dayus dalam memperjuangkan hak orang Melayu. justru itu jasa Ibrahim Ali menghidupkan Perkasa menyebabkan orang Melayu nampak Perkasa wajar dijadikan parti politik kerana Umno sudah tidak serious mahu membela nasib orang Melayu.

Sesungguhnya kehadiran ramai orang di rumah terbuka Ibrahim Ali membuktikan bahawa beliau tetap relevan dalam sejarah politik Malaysia walaupun beliau berada di luar Umno.