Selasa, September 23, 2014

MB TAK MAHU TASIK KENYIR JADI GAJAH PUTIH

KUALA TERENGANU, 23 Sept (Bernama) -- Kerajaan negeri Terengganu akan meneruskan segala projek yang dirancang sebelum ini dengan menambah baik atau disesuaikan mengikut keperluan serta keadaan semasa. Menteri Besar Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berkata segala perancangan perlu ada penambahbaikan dan penyesuaian termasuk dari segi pelaksanaannya. "Sebab itu kerajaan bercadang untuk menubuhkan Majlis Pembangunan Pelancongan Negeri Terengganu, yang berperanan membantu kerajaan bagi mengenal pasti apakah keperluan yang akan dilaksanakan di Tasik Kenyir untuk memastikan tasik itu tidak menjadi projek Gajah Puteh. "Kita tidak mahu perkara yang telah kita laksanakan (zon bebas cukai Tasik Kenyir), tidak diteruskan yang nanti akan menimbulkan masalah kerana rakyat akan melihat bahawa projek itu tidak dapat dilaksanakan disebabkan ada lagi yang belum dilaksanakan," katanya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PAS-Rhu Rendang) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri ke-13 di sini hari ini. Ahmad Razif berkata beliau turut mendapat komitmen daripada kerajaan pusat yang akan membantu bagi membangunkan Tasik Kenyir yang dijangka akan dibuka pada Sept tahun depan. "Kita mahu pelabur-pelabur dari luar dan dalam negara untuk sama-sama membangunkan tasik itu bagi memastikan impaknya nanti akan dapat dinikmati negeri ini dan rakyat keseluruhannya. Menjawab soalan tambahan Hanafiah Mat (PAS-Cukai) yang mencadangkan kerajaan supaya semua kerja perlu dilakukan secara tender terbuka, Ahmad Razif berkata kerajaan negeri akan memberi perhatian serius mengenai perkara ini. Katanya ini kerana dasar kerajaan negeri Terengganu sekarang ialah berbelanja secara berhemah.