Selasa, September 23, 2014

AKHIRNYA ANAK SINGAPURA JADI MB SELANGOR

SHAH ALAM, 22 Sept (Bernama) -- Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa Mohamed Azmin Ali telah dilantik sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Pelantikan itu disahkan oleh Setiausaha Sulit Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani ketika dihubungi Bernama di sini petang ini. "Ya saya sahkan surat pelantikan (sebagai menteri besar baharu) telah diserahkan kepada Mohamed Azmin padas Isnin. "Pihak Istana Selangor akan keluarkan kenyataan akhbar esok bagi memberi penjelasan mengapa Mohamed Azmin dipilih sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu," katanya ketika diminta mengesahkan pelantikan Mohamed Azmin berikutan surat pelantikan itu yang tersebar luas di media sosial pada Isnin. Mohamed Azmin ketika ditemui oleh wartawan di Ibu Pejabat PKR di Damansara, lewat petang ini, turut mengesahkan menerima surat pelantikan tersebut dan menerima secara positif jawatan itu. Majlis mengangkat sumpah Menteri Besar Selangor yang baharu dijadualkan berlangsung di Istana Alam Shah, Klang pada pukul 10.30 Selasa pagi. Pengesahan daripada Mohamed Azmin dan Mohamad Munir itu sekali gus menamatkan teka teki siapa pengganti Abdul Khalid bagi mengisi jawatan tertinggi pentadbiran Selangor itu. Setiausaha Sulit Sultan Selangor itu awal hari ini memberitahu Bernama bahawa nama menteri besar Selangor yang baharu hanya akan diumumkan Selasa pagi. Ini kerana Sultan Sharafuddin Idris Shah belum memberi perkenan untuk pihaknya mengumumkan pelantikan itu, katanya. Ketika ditanya mengenai penyebaran surat pelantikan itu di media sosial, Mohamad Munir berkata ia berada di luar kawalannya. "Kita memang ingin umumkan nama menteri besar yang baharu esok sekali dengan penjelasan mengapa pihak istana memilih Mohamed Azmin sebagai menteri besar Selangor yang baharu. Saya tidak boleh halang jika perkara ini (penyebaran surat pelantikan) berlaku," katanya. Difahamkan, salinan surat berkenaan turut diedarkan kepada pihak media di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Petaling Jaya Isnin petang. Kandungan surat bertarikh 22 Sept (Isnin) yang ditandatangani Mohamad Munir itu antara lain memaklumkan bahawa Sultan Selangor telah berkenan melantik Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR untuk menjawat jawatan Menteri Besar Selangor berkuat kuasa Selasa (23 Sept). Surat berkenaan juga meminta Mohamed Azmin yang juga Anggota Parlimen Gombak hadir ke Istiadat Angkat Sumpah jawatan dan ikrar aku janji serta pengurniaan surat cara pelantikan menteri besar di Istana Alam Shah pada pukul 10.30 pagi pada Selasa. Sebelum ini, nama Mohamed Azmin serta dua lagi iaitu Adun Cempaka Iskandar Abdul Samad dan Adun Sijangkang Dr Ahmad Yunus Hairi disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar Selangor yang ke-15 itu. Bagaimanapun, ramalan lebih tertumpu kepada Adun Bukit Antarabangsa itu, yang genap mencapai usia 50 tahun pada 25 Ogos lepas. Ketiga-tiga Adun berkenaan telah diterima mengadap Sultan Sharafuddin baru-baru ini yang disifatkan pemerhati politik sebagai langkah untuk baginda membuat penilaian. Penggantian Abdul Khalid berlaku selepas pakatan rakyat mengambil tindakan yang dikenali sebagai "Langkah Kajang" di mana Adun Kajang Lee Chin Cheh mengosongkan kerusi itu bagi memberi laluan kepada Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding. Bagaimanapun Anwar hilang kelayakan bertanding apabila Pendakwa Raya menang rayuan dalam kes liwat membabitkan Anwar dengan seorang pembantunya. Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, isteri kepada Anwar bertanding dan memenangi kerusi itu. Pada 9 Ogos lepas, PKR memecat Abdul Khalid daripada parti itu dan mencalonkan Dr Wan Azizah sebagai menteri besar Selangor yang baharu tetapi tidak diperkenan oleh pihak istana. Abdul Khalid dilantik sebagai Menteri Besar Selangor ke-14 pada 13 Mac 2008. Dalam reaksi kepada pelantikan Mohamed Azmin, Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub meminta semua pihak supaya menghormati keputusan istana melantik Adun Bukit Antarabangsa itu. "Kami di pihak PAS mengambil pendekatan setiakawan dalam Pakatan Rakyat dan menghormati konsep raja berperlembagaan. "Kedua-dua pendekatan itu harus seimbang, jadi apabila pihak istana telah membuat keputusan semua pihak harus akur," katanya ketika dihubungi Bernama pada Isnin. Sehingga berita ini ditulis, Bernama belum mendapat reaksi daripada DAP terhadap pelantikan Mohamed Azmin. Sementara itu, Naib Presiden Gerakan Datuk A.Kohilan Pillay yang menyambut baik pelantikan Mohamed Azmin sebagai Menteri Besar Selangor berkata timbalan presiden PKR itu kini memikul tugas besar untuk menangani kes denggi yang semakin meningkat di Selangor yang telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk. "Pelantikan menteri besar yang baharu tepat pada masanya tatkala pelbagai isu mendepani rakyat Selangor," katanya kepada Bernama. Kohilan, yang juga bekas Pengerusi Badan Perhubungan Gerakan Selangor berkata kerajaan negeri pimpinan pakatan pembangkang itu perlu membina lebih banyak rumah mampu milik dan kos rendah untuk keperluan anak Selangor dan penduduk dari negeri lain yang telah berhijrah ke Selangor. Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Tan Sri M. Kayveas berkata semua orang perlu akur dengan perintah dan perkenan Sultan Selangor. Bagaimanapun, beliau berharap Azmin Ali dapat meneruskan usaha-usaha yang ditinggalkan oleh Abdul Khalid serta dapat melaksanakan tugas dengan baik. -- BERNAMA