Isnin, Oktober 03, 2011

PATUHI NASIHAT DR. MAHATHIR


Ahli Umno perlu balik pada perjuangan asal parti demi agama, bangsa dan tanah air dengan mengetepikan kepentingan diri untuk memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang dijangka tidak lama lagi.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata hanya dengan cara itu penyakit yang menjadi 'duri dalam daging' iaitu mencantas atau menikam belakang dalam diri orang-orang Umno akan terhapus.

"Dulu orang Umno berkorban apa saja untuk parti, sanggup gadai barang kemas dan sebagainya untuk bantu parti tetapi sekarang mereka pegang jawatan sebab hendak dapat kontrak, jadi calon atau sebab tertentu.

"Jika diadakan PRU waktu ini, Umno boleh kalah besar kerana sokongan dan semangat mereka telah pudar," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan 'Bicara Negarawan' pada perhimpunan perdana Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) siri kedua peringkat negeri di Dewan Wawasan di Jitra, hari ini.

Hampir 2,000 pengerusi dan setiausaha JKKKP dari seluruh negeri hadir mendengar bicara beliau yang berlangsung selama sejam. Hadir sama pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah, timbalannya Datuk Mukhriz Mahathir serta jawatankuasa Perhubungan Umno Kedah.

Dr Mahathir berkata BN bagaimanapun boleh menang besar pada PRU ke-13 sekiranya penyakit dalam diri orang Umno ini terhapus.

Beliau yang ditanya adakah sesuai PRU diadakan sekarang, menjawab: "Pada pendapat saya sekarang belum sesuai. Banyak lagi yang perlu dilakukan lagipun Umno belum cukup kuat."

"Dalam Umno masih ada puak. Saya fikir perpecahan masih kritikal. Kalau ada kesedaran dan perasaan syukur dan terus bersatu, BN boleh menang. Orang Umno seharusnya buang sifat tidak puas hati. Walaupun tidak dapat apa yang dihajati mereka tetap menikmatinya dalam bentuk lain," katanya.

Ulasan saya, UMNO kalah bukan kerana PAS kuat tetapi kerana orang UMNO sendiri memangkah PAS. Buktinya pada tahun 1999, orang UMNO yang marah kepada MB Terengganu yang terlalu lama, Wan Mokhtar Ahmad, pangkah PAS. Orang UMNO yang marah kepada YB kawasan mereka, mereka pangkah PAS. Orang UMNO marah kepada JKKK, mereka pangkah PAS. Akhirnya UMNO kalah di Terengganu. dan PAS menang. Oleh itu orang UMNO yang mengangkat orang PAS jadi pemerintah di Terengganu.

Pada tahun 2004, orang UMNO sudah serik dengan kerajaan PAS, maka tumbanglah kerajaan PAS.Ini buktinya PAS tidak kuat di Terengganu.

Oleh itu pesanan Dr. Mahathir supaya ahli UMNO tidak berpuak hendaklah diberi perhatian serius. Jika tidak UMNO akan berkubur pada pilihanraya umum akan datang. Di peringkat bahagian, calon ketua bahagian yang kalah selalunya merajuk dan pangkah PAS bersama para penyokongnya. Maka UMNO jadi lemah. Calon yang menang pula terus menyingkirkan yang kalah tanpa beri peluang kepada mereka berbaik semula,Akhirnya UMNO semakin lemah dan menunggu masa untuk dikalahkan pada pilihanraya.

Oleh itu marilah kita sama-sama mengamalkan nasihat Dr Mahathir ini. Berjuanglah demi bangsa, agama dan negara walaupun kita tak dapat sebarang tender dan balak.