Isnin, Oktober 03, 2011
SYUKURLAH SEMUA SUDAH SELESAI
Syukurlah majlis perkahwinan anak kedua saya, Siti Zuraifah,27, di rumah pengantin lelaki,Hisham Abu Hassan di Kampung Parit Nibong, Bandar Baharu, Kedah sudah selesai semalam.
Majlis itu amat meriah sekali turut dihadiri oleh emak saudara dan sepupu saya yang duduk di Tanah Liat, Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Mereka tidak berkesempatan menghadiri majlis yang diadakan di Pasir Gajah, Kemaman, Terengganu pada 10 September lalu.Kami konvoi sembilan buah kereta dari Homestay Taman Cahaya Kristal ke rumah pengantin yang jaraknya 1 km sahaja. Kali ini pengantin pakai baju serba putih kerana menantu saya memilih uniform Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) sebagai temanya. Beliau diiringi oleh lapan orang rakannya dari APMM yang beruniform putih. Pangantin kemudiannya berjalan di bawah lapan bilah pedang yang terhunus ke atas.
Parit Nibong hanya 4 km dari tol lebuhraya PLUS ikut susur keluar Bandar Baharu, Parit Buntar. Pekan Parit Buntar, Perak lebih kurang 7 km dari Parit Nibong. Sungai Krian memisahkan Parit Buntar (Perak) dengan Bandar Baharu (Kedah).Manakala Parit Buntar juga bersempadan dengan Pulau Pinang (Nibong Tebal).
Majoriti penduduk Parit Nibong ialah orang Bugis. Mereka kata pernah Almarhum Sultan Perak, Sultan Idris sekembalinya dari Pulau Pinang mengisytiharkan hari raya aidilfitri untuk rakyat Perak lebih awal satu hari dari hariraya seluruh Malaysia, maka orang Bandar Baharu yang mahu berhari raya pergi ke Parit Buntar.
Parit Nibong tidak jauh dari Kuala Lumpur. Cuma tiga jam setengah berkereta jika tanpa henti. Besan saya dari Batu Gajah, Perak turut hadiri majlis ini bersama anaknya yang duduk di Parit Buntar. Akhir sekali saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan majlis perkahwinan anak saya di Kemaman dan Bandar Baharu. Semoga perkahwinan mereka kekal sehingga akhir hayat.