Sabtu, November 06, 2010

PROVOKASI PAS SEBABKAN BN MENANG BESAR


Provokasi berlebihan oleh penyokong PAS pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas menjadi salah satu faktor kemenangan besar di luar jangkaan kepada calon Barisan Nasional (BN), kata Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Dr Awang Adek Hussin.

Beliau berkata provokasi itu menyebabkan pengundi di DUN Galas menjadi jemu dan muak dengan tingkah laku penyokong PAS yang sanggup mencederakan penyokong BN pada pilihan raya kecil itu semalam.

"Pengundi di kawasan itu dapat melihat dan menilai sendiri parti mana yang mereka boleh bergantung untuk membela nasib masa depan mereka," katanya kepada pemberita selepas melawat keluarga mangsa lemas Siti Nor Ikma Mohd Rosli, 12, di Kampung Repet pada hari Jumaat.

Dalam pilihan raya kecil itu, calon BN Abdul Aziz Yusof memperoleh majoriti 1,190 undi apabila meraih 5,324 undi berbanding calon PAS Dr Zulkefli Mohamed yang mendapat 4,134 undi.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya daripada PAS, Chek Hashim Sulaima pada 27 Sept lalu.

Semalam, berlaku kekecohan yang dikatakan berpunca daripada provokasi penyokong PAS yang memasuki kawasan khemah BN untuk meraih undi, kira-kira setengah jam selepas pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan Sri Wangi, Gua Musang dibuka pukul 8 pagi.

Antara yang cedera dalam insiden itu termasuk Ketua Puteri Umno Kuala Krai, Suzaini Adlina Shukri, 37, yang cedera di dahi dan hidung setelah beliau diserang dengan tiang bendera PAS.

Awang Adek yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata pada awalnya BN hanya menjangka akan memperoleh kemenangan tipis antara 200 dan 500 undi sahaja berasaskan kepada perkembangan semasa.

Katanya ramalan itu berdasarkan kesukaran BN untuk menang besar berasaskan majoriti yang diperoleh Allahyarham Chek Hashim pada pilihan raya umum 2008 melebihi 600 undi selepas mengalahkan calon BN Saufi Deraman.

Awang Adek juga berkata antara faktor lain yang menyumbang kepada kemenangan BN ialah kesepakatan parti-parti komponen terutama Umno dan MCA yang mengatur strategi kempen yang berhemah.

"Pengundi Cina di kawasan itu berasa selesa di bawah konsep 1Malaysia manakala pengundi Melayu pula berasa yakin dengan jaminan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa hak-hak keistimewaan orang Melayu terus dipelihara dan diperkasakan," katanya.