Sabtu, November 06, 2010

KEMENANGAN LINDA KEJUTAN KEPADA PBS


Kemenangan naib ketua Wanita Parti Bersatu Sabah (PBS) Datin Linda Tsen pada pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi ternyata memberi kejutan manis dan bersejarah untuk parti itu.

Timbalan Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata kemenangan gemilang itu telah meningkatkan status wanita di Sabah apabila Tsen menjadi Ahli Parlimen pertama dari parti itu.

"Kini Tsen akan menambah bilangan wakil rakyat wanita di Parlimen, sekaligus memberi lebih banyak suara wanita dalam badan tertinggi pembuat keputusan di negara ini," kata Ongkili, yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, di sini.

Tsen, yang terpilih sebagai calon BN bagi menggantikan mendiang suaminya, Datuk Edmund Chong, memperoleh majoriti 6,359 undi, iaitu majoriti berganda yang diperoleh oleh suaminya pada pilihan raya umum 2008.

Tsen mendapat 9,773 undi untuk menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ansari Abdullah, yang mendapat 3,414 undi manakala presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee hanya meraih 2,031 undi.

Ansari merupakan tokoh lama dalam politik Sabah dan telah bertanding beberapa kali di bawah tiket PKR manakala Yong pula merupakan bekas Ketua Menteri semasa sistem penggiliran pada tahun 1990an.

Ongkili berkata keputusan pilihan raya kecil itu menunjukkan rakyat yakin dengan aspirasi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membawa negara ini mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020.

"Kejayaan itu juga menunjukkan rakyat berpuas hati dengan inisiatif Perdana Menteri seperti Program Transformasi Kerajaan, Bidang Keberhasilan Utama Negara, Bidang Ekonomi Utama dan Program Transformasi Ekonomi.

Selain itu, katanya, pilihan raya kecil itu membuktikan bahawa jentera BN mantap dengan kerjasama penuh dari semua parti komponen bagi menghadapi musuh politik.