Isnin, Disember 07, 2009

SURAU DALAM TANDAS?


Sebuah tandas awam untuk kemudahan lelaki, wanita dan golongan kurang upaya (OKU) di Sabindo di Tawau,Sabah, menimbulkan tandatanya orang awam kerana ia turut menempatkan sebuah bilik solat di dalamnya.

Di pintu masuk bangunan itu terdapat papan tanda surau dengan lambang wanita, lelaki dan OKU.

Presiden Majlis Perbandaran Tawau Ismail Mayakob ketika dihubungi Bernama berkata pihaknya akan mengambil tindakan termasuk menutup ruang solat berkenaan jika ia didapati mencemar nama baik Islam.

Namun, katanya, sebelum kemudahan tempat sembahayang itu disediakan, MPT telah meminta pandangan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah yang tidak membantah, malah ia membantu menetapkan arah kiblatnya.

"Kita akan berjumpa sekali lagi dengan JHEAINS kerana mereka lebih arif," katanya.

Pengerusi Majlis Agama Islam Sabah Datuk Syed Abbas Syed Ali, ketika dihubungi berkata, adalah kurang sesuai bagi bilik sembahyang dibina dalam bangunan tandas.

"Kita akan siasat perkara ini demi kemuliaan Islam," katanya.

Tandas awam berkenaan terletak hanya 500 meter dari Masjid Al-Kauthar, masjid terbesar di Sabah.