Isnin, Jun 15, 2009

YANG SEDANG HANGAT DIPERKATAKAN


Yang sedang hangat diperkatakan ialah dua orang pemimpin UMNO Terengganu ditahan SPRM berikutan kes rasuah yang membabitkan keretakan MRR2. Kebetulan mereka ialah Presiden Persatuan Kontraktor Melayu, Datuk Roslan Awang Chik dan bekas Setiausaha Agungnya, Datuk Rosli Mat Hassan.


Mereka dikatakan terlibat dalam rasuah sebanyak RM3 juta. Roslan adalah bendahari UMNO Terengganu manakala Rosli adalah Setiausaha UMNO Terengganu. Roslan adalah bekas Ketua UMNO bahagian Kuala Terengganu yang tewas kepada bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wan Farid Wan salleh manakala Rosli pula ketua UMNO Bahagian Dungun.


Kita tunggulah sahajalah pendakwaan di mahkamah dan janganlah kita buat andaian sendiri seperti mana kita menunggu perbicaraan Datuk Dr. Ramzi Zubir yang dikaitkan dengan Datuk Sri Idris Jusoh. Kebetulan Roslan dan Rosli adalah orang kanan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said tetapi ia berlaku sudah lama sebelum Ahmad Said jadi Menteri Besar lagi. Maka adalah tidak adil mengaitkan tindakan rasuah itu, jika terbukti bersalah, dengan Ahmad Said.


Ahmad Said tidak kena mengena. Jika benar wang RM3 juta itu untuk UMNO Terengganu, ia bukan berlaku di zaman Ahmad Said jadi Menteri Besar. Biarlah mahkamah membuat keputusan. Janganlah kita menghukum Roslan dan Rosli seperti mana kita tidak pernah menghukum Dr. Ramzi sebelum didapati bersalah oleh mahkamah.


Saya tak biasa dengan Roslan. Banyak kali saya temuinya semasa beliau jadi ADUN Ladang tetapi sampai sekarang beliau tidak ingat nama saya. Saya lebih biasa dengan Rosli atau Pak Li dari sejak dia ada syarikat Elektrodan di Kemaman pada tahun 1993 lagi.


Rosli banyak kali tolong beli buku saya pada tahun 1990an dahulu dan beliau memang seorang yang pemurah. Jadi saya tidak mahu komen banyak kerana biarlah kita tunggu keputusan mahkamah.