Sudah lama saya tidak ikuti majlis sastera. Hari Jumaat lalu saya diajak oleh bekas Setiausaha Akhbar Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kesenian, Datuk Seri Rais Yatim iaitu Jamudin Idris untuk mengikuti majlis Puisi Utusan di Istana Budaya.
Jamudin duduk di Kepong bersama bekas rakan serumah, Abdul Mubin Ismail yang sudah lama tidak datang ke Kuala Lumpur. Seronok juga mendengar puisi-puisi yang disampaikan oleh Khalid Salleh, Zain Kasturi, Datuk Samad Said, Datuk Siti Nurhaliza, Hafiz Juara AF, Major Faiz Angkasawan Negara, Prof. Dr. Hashim Yaacob, Halim Yazid dan ramai lagi.
Kami sampai lambat. Majlis sudah pun bermula lebih kurang 30 minit. Jadi saya tidak sempat mendengar puisi rakan lama dari Balok, Kuantan, Marsli N.O. Malam itu Marsli menumpang tidur di rumah Jamudin. Jadi kami balik satu kereta ke Kepong.
Bulan lepas Marsli atau Ramli Selamat terbaca blog saya dan terus menghubungi saya. Keesokannya, kawannnya pula, Robizan Salim atau Chor menghubungi saya yang memperolehi nombor handphone saya dari Marsli. Chor satu kursus dengan saya di Universiti Malaya dahulu dan kini bekerja di Kementerian Pendidikan. Chor tidak dapat hadir malam itu kerana dia terpaksa berangkat ke Jakarta pada pagi Sabtu.
Sudah lama saya tidak temui Marsli. Kebetulan malam itu beliau bersembang dengan Jamudin, maka saya pun tegurnya. Walaupun sudah berpuluh tahun kami tidak berjumpa, Marsli masih mengenali saya. Anaknya kebetulan sekelas dengan anak sulung saya ketika Along bersekolah di Balok dahulu.
Marsli kata beliau sudah malas menulis puisi menentang kerajaan kerana jika ditegur pun kerajaan, kerajaan tetap tidak bertindak. Jadi lebih baik katanya, dia tulis puisi cinta. Keesokannya saya sempat menghantar Marsli ke Puduraya bersama Jamudin. Katanya, tak berbaloi bawa kereta ke Kuala Lumpur. Jadi lebih baik naik bas sahaja untuk pergi balik dari Kuantan-Kuala Lumpur.
Hari ini saya buka blog Marsli dan saya dapati beliau adalah seorang sasterawan yang gigih. Beliau bukan sahaja menulis puisi malah menulis cerpen. Katanya, aku mahu tulis kau (saya) sebagai watak dalam cerpen kerana bekerja lima bulan tanpa mendapat gaji ketika bekerja di akhbar Watan.