Masih ramai yang tak faham dengan konsep kerajaan perpaduan. Kerajaan perpaduan bukanlah kerajaan campuran. Apabila Presiden PAS, Datuk Seri Haji Hadi Awang mencadangkan kerajaan perpaduan, ini bukanlah bermaksud PAS menyertai Barisan Nasional (BN).
Jika kerajaan perpaduan menjadi kenyataan, ini bermakna PAS bekerjasama dengan BN iaitu berpadu tenaga dalam satu kerajaan dan PAS tak perlu menyertai BN. Idea ini memang baik dapat menyelesaikan kemelut politik.
Rakyat yang rugi bila terlalu banyak berpolitik. Lihat apa yang berlaku di Perak. Masih tak selesai walaupun mahkamah memutuskan bahawa Dr. Zambry adalah Menteri Besar Perak yang sah kerana Datuk Seri Nizar masih menganggap bahawa beliau adalah Menteri Besar Perak.
Jika mahu laksanakan kerajaan perpaduan, tidak mencukupi PAS sahaja. DAP dan PKR perlu sertai juga barulah aman negara walaupun Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak bersetuju kerana jika ia menjadi kenyataan, negara tidak ada parti pembangkang.
Bagi saya, kerajaan perpaduan akan menguntungkan UMNO. Di Kelantan, sekurang-kurangnya ada juga ADUN UMNO akan dilantik sebagai Exco. Begitu juga di Kedah, akan ada juga Exco dari UMNO walaupun Menteri Besarnya dari PAS. Memanglag UMNO tak dapat jadi Menteri Besar di Kedah melalui kerajaan perpaduan ini tetapi kita harus ingat bahawa kewujudan kerajaan perpaduan hanyalah sehingga pilihanraya umum akan datang.
Apabila parlimen dibubar, semua parti akan bertanding semula dalam pilihanraya. Maknanya BN akan ditentang oleh PAS semula. Jika PAS bentuk semula kerajaan di Kelantan dan Kedah, maka ADUN PASlah yang jadi Menteri Besar dan ADUN UMNO dapatlah beberapa kerusi Exco. Inilah konsep kerajaan perpaduan.
Jika BN menang di Kelantan dan Kedah pada pilihanraya umum akan datang, maka Menteri Besarnya adalah dari UMNO dan beberapa ADUN PAS akan dilantik sebagai Exco. Di Peringkat pusat pula, beberapa kerusi menteri akan diberi kepada PAS. MCA yang kalah banyak dapat empat menteri penuh, maka tidak ada sebab PAS dapat empat kerusi menteri juga.
Kerajaan perpaduan jika menjadi kenyataan dapat meredakan ketegangan politik. Tetapi jika PKR dan DAP menyokong cadangan PAS ini, maka ketegangan politik di Perak dapat diselesaikan. DAP tidak mahu sertai kerajaan perpaduan kerana ia terpaksa berkongsi kuasa dengan UMNO di Pulau Pinang. Inilah hakikat sebenar mengapa DAP menentang cadangan PAS ini. Mereka bimbang jika PAS dan UMNO berpadu, maka wakil rakyat Melayu dan Islam semakin kuat suaranya di parlimen.