Isnin, Jun 22, 2009

HANYA RAHIN ORANG BARU


Pengguguran Rosli Mat Hassan dan Roslan Awang Chik sebagai Setiausaha dan Bendahari Perhubungan UMNO Terengganu bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Ia adalah perkara biasa kerana setiap kali Badan Perhubungan UMNO negeri yang baru dibentuk bermesyuarat, maka barisan baru akan dilantik.

Oleh itu pengguguran mereka tidak kena mengena dengan kes mereka yang dikatakan terlibat dengan kes SPRM. Jika mereka tidak ditahan SPRM pun, mereka tetap digugurkan kerana perlantikan kedua jawatan ini adalah budi bicara Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Hishamuddin Hussein.

Speaker Dewan Undangan Negeri, Tengku Putera Tengku Awang yang sebelum ini adalah Timbalan Pengerusi UMNO negeri dilantik Setiausaha Perhubungan UMNO yang baru manakala Menteri Belia dan Sukan, Ahmad Shabery Cheek dilantik Ketua Penerangan yang pernah dipegangnya di dalam rejim Idris Jusoh.

Orang baru yang dilantik bendahari ialah Exco Belia, Rahin Mohd. Said menggantikan Roslan Awang Chik yang pernah menjadi pengurus bank. Nampaknya orang Ahmad Said menguasai Perhubungan Negeri dengan terlantiknya Tengku Putera dan Ahmad Shabery yang menyebabkan Ketua UMNO Bahagian Besut, Idris Juosh tidak hadir dalam mesyuarat pertama itu.

Sebelum ini ramai yang meramalkan orang Idris akan dilantik Setiausaha Perhubungan iaitu Din Adam dan Bendahari iaitu Shabery Alwi atau Mat Kerak. Jadi langkah Hishamuddin mengambil orang Ahmad Said sebagai pemegang jawatan utama adalah langkah yang tidak memecahbelahkan lagi perpaduan UMNO Terengganu.

Kebetulan saya ada kaitan dengan ketiga pemegang jawatan utama ini. Saya kenali Tengku Putera sejak beliau menjadi Ketua Pemuda Hulu terengganu pada tahun 1993. Ketika itu beliau pernah merasmikan kursus pemuda UMNO Kemaman di Pupuk Semangat Teluk Kalong. Saya nampak potensi yang ada pada beliau dan beliau dipilih bertanding pada pilihanraya umum 1995 di DUN Telemong. Kemenangannya itu menyebabkan beliau dilantik Exco Kerajaan negeri.

Kelebihan Tengku Putera beliau mudah ingati nama orang. Kali pertama saya temuinya pada tahun 1995, saya perkenalkan diri saya sebagai Zabidi penulis buku Dilema Yusof Noor. Kali kedua saya temuinya di rumahnya tiga bulan kemudian, dari jauh dia panggil nama saya, Zabidi. Inilah kelebihan Tengku Putera yang mudah mengingati nama orang walaupun kali kedua berjumpa.

Saya bekerja dengannya pada tahun 1996 menyiapkan buku HULU TERENGGANU MENUJU KEEMASAN selama empat bulan. Saya duduk di Kuala Berang, di kampung halamannya untuk menyiapkan buku tersebut.

Saya kenali Bendahari Perhubungan, Rahin Mohd. said sejak kecil lagi kerana kami sekelas ketika belajar di Sekolah Kebangsaan Banggol Peradong, Kuala terengganu dari darjah tiga hingga darjah enam dari tahun 1968 hingga 1971. Saya dapat nombor satu dalam kelas dan Rahin dapat nombor empat setiap kali peperiksaan setiap penggal. Tapi rezekinya cerah dalam politik sedangkan saya tak ke mana walaupun pernah jadi Ketua penerangan Pemuda UMNO kemaman.

Rahin mengalahkan Nasir Tan Sri Ibrahim dalam pertandingan Ketua Pemuda pada tahun 1993 dan terpilih bertanding di kerusi parlimen Kuala Nerus pada tahun 1995 yang merupakan satu badge dengan Tengku Putera dipilih sebagai wakil rakyat.

Saya kenali Ketua Penerangan, Ahmad Shabery sejak belajr di Universiti Malaya pada tahun 1980. Sewaktu beliau menjadi Presiden PMUM pada tahun 1981, saya adalah Editor majalah Varsiti yang mana Exco PMUM yang mengawasi penerbitan Majalah Varsiti itu ialah Husham Musa yang kini merupakan Exco kanan negeri Kelantan.

Pada tahun 1997, Shabery meninggalkan Semangat 46 dan menyertai UMNO dan beliau menentang Ahli Parlimen Kemaman, Dr. Ramli Taib dalam pertandingan Ketra Pemuda pada tahun 1998. Ketika itu orang kuatnya kini, Haji Mustafa Abdul Rahman dan Ayob mamat menyokong Dr. Ramli taib manakala saya menyokong Shabery sehingga dimarahi oleh Wan Mokhtar Ahmad kerana tidak menyokong Dr. Ramli Taib.

Idris Jusoh pernah bersungut ketika Shabery menjadi ketua penerangan UMNo dari tahun 2004 hingga 2008 betapa lembabnya jentera penerangan negeri kerana Shabery sibuk sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Luar. Oleh itu langkah Hishamuddin melantik Shabery sebagai Ketua Penerangan kurang tepat kerana Shabery sibuk dengan jawatan menterinya sehingga jarang balik kawasan menemui para pengundi Kemaman.