Selasa, Jun 23, 2009

EPIC BANGUNKAN KSB III


Eastern Pacific Industrial Corporation Bhd (EPIC), anak syarikat kerajaan negeri Terengganu, melabur RM100 juta bagi membangunkan Kemaman Supply Base (KSB) Fasa III, Kemaman yang melibatkan kawasan seluas 30 hektar.




Ketua Pegawai Eksekutifnya Ramli Shahul Hameed berkata pada masa kini urusan pembelian dan pembayaran tanah hampir diselesaikan dan akan dibuka untuk proses tender tidak lama lagi.




"Kita menjangkakan KSB Fasa III ini akan dibuka dalam tempoh setahun dan apabila dibuka kelak, ia akan menjadikan jumlah keseluruhan pangkalan perbekalan yang menyokong industri petroleum itu hampir 200 hektar, dengan tambahan 80 hingga 100 syarikat baru akan beroperasi di situ," katanya ketika ditemui semalam.




Beliau berkata pada masa ini terdapat 240 syarikat sokongan gas dan minyak beroperasi di situ, termasuk tujuh syarikat minyak utama iaitu Petronas, Esso, Cari Gali Hess, Talisman, Petrofac, Newfield dan Murphy.




Menurutnya pembukaan fasa baru itu juga akan memberi peluang pekerjaan kepada lebih 3,000 orang. Pada masa ini dianggarkan terdapat 8,000 tenaga kerja di situ dengan 80 peratus daripadanya merupakan anak Terengganu.




Berbanding Fasa I dan II yang dibuka sebelum ini, Fasa III yang bakal dibuka pertengahan tahun depan mempunyai keistimewaannya tersendiri, dengan setiap gudang atau bangunan dibina mengikut spesifikasi atau kehendak bakal penyewa.




"Sehubungan itu kita minta syarikat yang berminat memaklumkan bentuk pembinaan gudang yang mereka kehendaki sesuai dengan keperluan perniagaan mereka sebelum kami membinanya," katanya.




Untuk tempoh lima tahun akan datang, KSB yang ada sekarang bakal diperluaskan sehingga 400 hektar yang turut melibatkan pembesaran Pelabuhan Kemaman dan limbungan terbuka yang membabitkan peruntukan sehingga RM500 juta, katanya.Ramli berkata pembesaran kawasan Pelabuhan Kemaman itu adalah antara strategi syarikat untuk menarik lebih banyak syarikat perkapalan singgah di situ.




"Ramai pihak yang masih tidak menyedari bahawa Pelabuhan Kemaman merupakan lokasi yang strategik kerana selain terlindung daripada tiupan angin monsun, ia juga mempunyai kedalaman 10 hingga 16 meter yang sesuai untuk kapal besar serta lengkap dengan pelbagai kemudahan."




Usaha kami sekarang ialah untuk menarik lebih banyak kapal gerudi masuk ke pelabuhan itu dan usaha awal telah menampakkan kesan apabila sebuah kapal gerudi dari Australia memasuki pelabuhan dua minggu lepas untuk kerja membaik pulih selama lapan bulan. Ia dijangka menyumbang perolehan sebanyak RM100 juta," katanya.




Pada hari Selasa, Epic dijadualkan mengadakan mesyuarat agung tahunan diikuti sidang media bagi mengumumkan keputusan kewangannya bagi tahun lepas.