Selasa, Jun 23, 2009

AHLI POLITIK IBARAT TONG SAMPAH



Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, ahli politik boleh diumpamakan sebagai ‘tong sampah’ kerana segala keburukan dan perasaan tidak puas hati rakyat akan terus dilemparkan kepada golongan berkenaan.

Menurut Ahmad, kegagalan seseorang individu melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik akan menimbulkan kemarahan rakyat dan kesannya, rakyat melunaskan rasa dendam mereka apabila menjelangnya pilihan raya kecil atau umum.

Beliau berkata, walau apa juga perlakuan atau pendekatan yang diambil terhadap sesuatu perkara, hati dan perasaan rakyat harus dijaga dengan sebaik mungkin tanpa memikirkan diri sendiri kerana ia penting dalam mengekalkan sokongan.

“Walau apa juga tindakan kita, hati dan perasaan rakyat penting serta harus dijaga sebab mereka berada di kedudukan depan seiring dengan matlamat merakyatkan pembangunan.

“Orang politik ini macam tong sampah, kegagalan pegawai kerajaan akan menimbulkan kemarahan rakyat dan mereka akan balas dendam di peti undi, mereka tidak menyatakan kemarahan itu tapi tunjuk pada pilihan raya,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu berkata demikian ketika berucap pada Perjumpaan Pegawai Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu bersama Menteri Besar di Wisma Darul Iman, semalam.

Ahmad menyifatkan segala kelemahan yang ditunjukkan oleh orang bawahan terutama dalam menguruskan hal-hal berkaitan masyarakat akan terpalit kepada kerajaan. Sehubungan itu beliau meminta semua Pegawai Agensi Pembangunan Masyarakat negeri ini menunaikan amanah dan tanggungjawab masing-masing dengan sebaik mungkin agar mampu memberi khidmat sempurna kepada rakyat.

“Kita memang macam tong sampah, setiap yang tidak disukai rakyat akan dilemparkan kepada ahli politik dan oleh itu kita jangan bersikap sombong dan angkuh, harus sedar diri dalam berkhidmat kepada rakyat.

“Tidak ada gunanya kita laksanakan pelbagai projek pembangunan tapi rakyat tidak dapat sebarang faedah kerana akhirnya kita (Barisan Nasional (BN) akan ditolak,” katanya.