Jumaat, Jun 12, 2009

FIREFLY KT-SINGAPURA MULAI 14 JULAI


Sektor ekonomi dan bidang pelancongan di negeri ini dijangka meningkat apabila syarikat penerbangan tambang murah, Firefly Sdn Bhd (Firefly) mengadakan penerbangan sulung dua hala terus dari Kuala Terengganu ke Singapura bermula 14 Julai ini.

Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said berkata, buat permulaan, Firefly akan mengadakan tiga penerbangan seminggu iaitu pada hari Selasa, Khamis dan Sabtu.

"Dengan adanya penerbangan terus dari Singapura itu, ia dapat menarik lebih ramai pelancong ke Kuala Terengganu. Sebelum mereka ke pulau-pulau atau tasik sekurang-kurangnya mereka boleh berbelanja dahulu di sini.

"Dengan demikian ia boleh meningkatkan pendapatan peniaga di sini sekaligus membantu perkembangan ekonomi negeri Terengganu," katanya ketika mendengar taklimat Firefly penerbangan terus Kuala Terengganu-Singapura yang disampaikan oleh Pengarah Urusannya Eddy Leong di sini, Rabu lalu.

Ahmad berkata, penerbangan ke Singapura yang boleh memuatkan sehingga 70 penumpang itu memakan masa perjalanan sejam 20 minit dengan tambang RM88 sehala.

Beliau berkata kerajaan negeri akan memberikan subsidi untuk syarikat penerbangan itu termasuk cukai penumpang, cukai pendaratan dan parkir dalam usaha untuk menggalakkan lebih banyak penerbangan luar dilakukan terus dari LTSM.

"Mana-mana penerbangan luar negara yang membawa penumpang terus ke Terengganu akan dikecualikan daripada dikenakan bayaran cukai berkenaan bagi menggalakkan mereka mengunjungi negeri ini.

"Kita ada rancangan untuk membuat penerbangan Terengganu-Guangzhou di China pada masa akan datang supaya orang kita pun boleh ke sana untuk berbelanja kerana dikatakan barang-barang di sana lebih murah," katanya.

Mengenai keadaan lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) yang dikatakan bocor, Ahmad berkata kerja-kerja untuk membaikinya telah dijalankan.

Katanya kerajaan juga telah mengarahkan supaya Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) supaya berbincang dengan Petronas untuk membekalkan secara terus minyak di LTSM kerana kerajaan negeri mempunyai syarikat yang mampu menguruskannya.

Sementara itu, Eddy Leong berkata, Terengganu berpotensi untuk menarik lebih ramai pelancong kerana ia mempunyai sejarah yang menarik, selain pulau-pulau yang indah serta sebuah tasik buatan manusia yang terbesar di rantau ini.

Katanya bagi penumpang yang ingin mendapatkan tambang murah, ia mestilah membuat tempahan 30 hari sebelum penerbangan kerana tambang biasa yang dikenakan bagi perjalanan Kuala Terengganu-Singapura ialah RM120.

Tahun lepas, Terengganu menerima kunjungan pelancong sebanyak 3.5 juta yang mana sebahagian besarnya merupakan pelancong dari Singapura.