Jumaat, Januari 09, 2009

PENGALAMAN MELANCONG KE EROPAH


Salah satu pengalaman menarik dalam hidup saya apabila berpeluang melancong ke Eropah pada tahun 1997. Kenangan ini tidak akan saya lupakan seumur hidup saya.


Segala-galanya bermula bila saya aktif dalam pemuda UMNO di Kemaman. Ketika itu ketua pemudanya, Ahmad Said (belum bergelar Datuk) dan ketika itu beliau adalah Exco Kerajaan Negeri Terengganu. Beliau telah membawa kami semua ahli jawatankuasa pemuda 1993-1995 dan 1995-1998 ke Eropah.


Kami berpeluang melawat Switzerland, Peranchis dan Great Britain dalam masa 10 hari. Pengalaman ini memang sukar dicari kerana bila lawatan seperti ini ditaja, ia tidak akan berulang lagi dalam hidup kita.


Walaupun sudah 12 tahun lawatan itu berlalu, tetapi kenangan itu tetap segar dalam ingatan. Paling lucu seorang rakan, Naim yang tidak pernah naik kapalterbang amat takut bila terbang dari Kuantan ke Kuala Lumpur. Walaupun penerbangan itu selama 45 minit sahaja, dia tidur sahaja dalam penerbangan itu kerana dia gayat.


Cuba bayangkan apa yang Naim buat sepanjang penerbangan dari Kuala Lumpur ke Switzerland yang makan masa lebih dari 12 jam. Betapa boringnya Naim menunggu kapal terbang mendarat di ibukota negara Switzerland. Patutlah ramai yang simpan wang di Switzerland kerana bila sampai di airportnya, imigeresen Switzerland tidak cop paspot kami. Maknanya kami tidak ada bukti pernah sampai di negara itu. Bila balik dari London, baru paspot kami dicop.


Sesampainya di Switzerland, kami pergi ke Luzerne dan bermalam di sana selama dua malam.Saya sebilik dengan Wan Jasni Wan Mansor dari Felda Kerteh 6. Acara kami banyak acara bebas. Jadi kami bebas pergi ke mana-mana. Bila shopping, salah seorang ahli jawatankuasa pemuda, Jantan Mohamad menaikkan nama negara apabila membeli jam Rolex yang paling mahal. Apabila pelancong beli jam termahal, maka bendera negaranya akan terpacak di kedai itu. Hari itu bendera Malaysia berkibar megah apabila Jantan mencatat belian jam yang termahal.


Kami juga berpeluang main dengan salji di sebuah gunung yang saya sudah lupa namanya.Walaupun ketika kami pergi sudah bulan Mei, tetapi salji masih ada di gunung itu. Kami juga berpeluang menaiki cable car yang tempat duduk untuk dua orang saja yang orang yang gayat memang takut menaikinya.


Switzerland memang indah. Sebab itu banyak filem Hindustan dishooting di Switzerland. Bila saya tengok filem Dilwale Dulhania Lajayenge lakonan Shah Rukh Khan dan Kajol yang dishooting di Switzerland, saya teringat kunjungan saya ke Switzerland.


Dari Switzerland kami seramai 40 orang naik bas ke Paris. Perjalanan makan masa sehari suntuk. Sepanjang perjalanan Ahmad Said asyik bercerita yang menyebabkan kami asyik gelak-ketawa mendengar ceritanya.


Di Paris memang kota romantik. Di satu kedai, bila kami masuk cakap Melayu, tuan kedai orang Peranchis tanya kami dari mana. Bila kami jawab dari Malaysia, tuan kedai tanya Dr. Mahathir? Ini menunjukkan betapa terkenalnya Dr. Mahathir dengan nama Malaysia.


Di sana kami bermalam selama dua malam. Kami berpeluang menaikki Menara Effeil dan bergambar kenangan di puncak menara tersebut. Dari Paris kami ke London dengan kereta api laju yang masuk dalam terowong bawah laut. Sungguh indah pemandangan dari Paris ke London sepanjang menaiki kereta api tersebut.


Kami sempat tiga malam duduk di London. Untuk makan, kami tidak ada masalah lagi kerana dapat makan makanan Malaysia di Malaysia Hall. Kami naik tube (seperti LRT bawah tanah dari Pasar Seni ke Damai) ke Malaysia Hall.


Kebetulan saya terjumpa dengan rakan lama di Sabah, Onn Ariffin suami kepada Datuk Dayang Mahani Tun Ahmad Raffae (bekas menteri Sabah). Onn datang menziarahi anaknya yang sedang belajar di London. Onn ajak kami tengok wayang di Kota London dan kami beberapa orang dari Kemaman dibelanja Onn tengok wayang LIAR,LIAR lakonan Jim Carrey yang mana kebetulan filem itu serentak ditayangkan di seluruh dunia termasuk di Kuala Lumpur.


Menonton filem Menanti Hari Esok pada tahun 1977 menyebabkan saya mahu menjejak kaki di Trafalgar Square di mana filem arahan Jins Shamsuddin itu turut menunjukkan Trafalgar Square. Burung merpati yang ada di situ memang jinak, boleh dipegang. Jadi kenangan berada di London memang tidak dapat dilupakan.


Sebab itu ramai rakyat Malaysia suka pergi ke London kerana kotanya yang tenang. Cuma slanga bahasa inggeris British kurang difahami kerana kita lebih terdedah dengan filem terbitan Amerika Syarikat yang slanga bahasa inggerisnya berlainan dengan slanga bahasa inggeris British. Sepatutnya rakyat Malaysia berturut dalam bahasa Inggeris slanga British kerana Great Britain yang pernah menjajah Malaya.


Penerbangan balik ke Kuala Lumpur dari London amat memenatkan tapi kapal terbang yang kami naik sempat transit di Dubai. Di situ kami terjumpa dengan Datuk Azmi Khalid yang turut balik dari London dengan penerbangan yang sama.Sesungguhnya perjalanan kami ke Eropah walaupun singkat tetap tidak pernah dilupakan. Jika ada rezeki sekali lagi, ingin kujejaki kaki lagi di Eropah terutamanya di Switzerland dan London.