Sabtu, Januari 10, 2009

KENYATAAN DR. MAHATHIR JEJASKAN BN




Nampaknya kenyataan bekas Presiden UMNO, Dr. Mahathir Mohamad bahawa calon BN bagi pilihan raya kecil Kuala Terengganu, Wan Farid Wan Salleh adalah calon yang terburuk sedikit sebanyak memberi kesan kepada 80,000 lebih pengundi Kuala Terengganu.




Ia dinafikan oleh Pak Lah yang turut berkempen di Kuala Terengganu. Sebagai Perdana Menteri beliau tidak perlu turun kerana timbalannya, Najib sudah berkhemah di situ tetapi oleh kerana Wan Farid adalah bekas setiausaha politiknya maka apa salahnya beliau turun kerana beliau yang lebih mengenali Wan Farid.




"Orang kata Wan Farid sombong. Kalau dia sombong saya tak ambil dia jadi setiausaha politik saya," kata Pak Lah.




Hari pengundian tinggal tujuh hari lagi. Kedua-dua calon BN dan PAS masih berpeluang. Kenyataan Dr. Mahathir yang mengatakan BN dan PAS adalah sama, maka pengundi yang terpengaruh dengan kenyataan Dr. Mahathir sudah tentu akan mengundi calon Bebas, Azaharudin Mamat.




Pada pilihan raya umum lalu, tiga DUN sudah dimenangi PAS, Wakaf Mempelam, Batu Buruk dan Ladang. Wakaf Mempelam dan Batu Buruk jatuh ke tangan PAS sejak tahun 1978 lagi ketika Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri.




Oleh itu jika mereka kekal mengundi PAS, ia tak kena mengena dengan kenyataan Dr. Mahathir. Cuma tidak manis bagi bekas Perdana Menteri dalam suasana BN perlu menang, beliau kelaurkan kenyataan seperti itu. Tambahan pula anaknya Mukhriz masih dalam UMNO dan akan merebut kerusi Ketua Pemuda UMNO pada Mac ini.




Jika BN menang, Mukhriz yang turut berkempen di Kuala Terengganu bersama dua lagi calon, Khairy Jamaluddin dan Dr. Khir Toyo terselamat kerana mereka bertiga kerja kuat untuk mempastikan BN menang.




Jika BN kalah, peluang Mukhriz untuk menang Ketua Pemuda melalui jalan sukar kerana kenyataan ayahandanya yang menyebabkan BN kalah. Kenapa para perwakilan UMNO perlu pilih Mukhriz sebagai Ketua Pemuda sedangkan kenyataan ayahnya yang menyebabkan BN kalah?




PAS tidak ada isu baru. Sebab itu PAS lebih tertumpu kepada serangan peribadi kononnya Wan Farid sombong dan tidak mesra rakyat.




Ada yang mengatakan dulu pengundi Ladang sudah tolak abang Wan Farid, Wan Hisham yang juga Exco Kerajaan Negeri, maka sudah sampai bagi pengundi kawasan parlimen Kuala Terengganu menolak adik Wan Hisham pula.




Wan Farid adalah bekas setiausaha politik Pak Lah. Beliau juga bekas timbalan menteri dalam negeri yang sudah dijanjikan semula jawatan itu bila menang kelak. Apa lagi pengundi Kuala Terengganu mahu?




Sudah sampai masanya bagi para pengundi Kuala Terengganu memberi kemenangan kepada BN supaya Wan Farid terus dapat menyambung tugasnya sebagai timbalan menteri. Malah beliau ada potensi untuk menjadi menteri penuh kerana kehebatannya berpidato dengan gaya Anwar Ibrahim seringkali memukau para perwakilan Perhimpunan Agung UMNO suatu masa dulu.




Jika BN menang, ini adalah hasil kerja kuat semua untuk mempastikan BN terus kekal pada pilihan raya umum 2012 di Terengganu. Maka tidak timbul orang Ahmad Said atau orang Idris Jusoh kerana BN perlu dikekalkan memerintah Terengganu.




Sebaliknya jika PAS menang, peluang BN untuk kekal kuasa di negeri ini agak goyang. Oleh itu BN perlu kerja kuat dengan merapatkan semula semua calon yang kalah dalam pertandingan bahagian baru-baru ini supaya berganding bahu.




Bekas timbalan ketua bahagian, Che Mat Jusoh; bekas calon Batu Buruk, Nordiana Shafie; bekas calon Wakaf Mempelam, Othman Awang; bekas naib ketua bahagian, Hamzah perlu dipanggil sama untuk membantu BN. Begitu juga bekas ketua bahagian, Roslan Awang Chik dan bekas timbalan ketua bahagian, Zubir Embong.




Mereka semua ada pengaruh. Jika enam orang ini ada 10 orang penyokong, maka BN sudah ada 60 undi. Jika BN menang dengan majoriti 60 undi, maka undi merekalah yang memenangkan Wan Farid. Oleh itu bersatulah sebelum terlambat!