Jumaat, Januari 09, 2009

PAKATAN RAKYAT TERUS BERBALAH KERANA HUDUD


Kalau bukan kerana Khairy Jamaluddin, mungkin isu hukum hudud tidak panas semula. Nampaknya isu ini timbul kembali menjelang pilihanraya kecil Kuala Terengganu pada 17 Januari ini setelah Husam Musa diperangkap oleh Khairy dalam satu wacana di Kota Bharu bulan lepas.

PAS kata akan terus laksanakan hukum hudud jika Pakatan Rakyat memerintah negara pada tahun 2012 nanti. Ia menimbulkan kemarahan DAP yang menganggap negara Malaysia adalah negara sekular.
Untuk memenangi hati para pengundi Kuala Terengganu, dalam ceramahnya Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim berkata PKR tidak menolak hasrat PAS untuk melaksanakan hukum hudud sekiranya berjaya memerintah negara.

Ini jelas cakap politik Anwar supaya orang Melayu terus mengundi PAS. Sudah tentu Pengerusi DAP, Karpal Singh cepat melatah dengan mengatakan kenyataan Anwar mengelirukan. Karpal mengatakan bahawa Malaysia bukan negara Islam dan pelaksanaan hukum hudud adalah melanggar perlembagaan negara.


Anwar kata hukum hudud untuk orang Islam sahaja dan bukannya untuk semua kaum. Ini yang menimbulkan kekeliruan kerana Karpal Singh kata untuk hukum hudud digunapakai, prasyaratnya ialah penubuhan sebuah negara Islam seperti Arab Saudi di mana undang-undang Islam terpakai kepada orang Islam dan bukan Islam.

Dengan isu hukum hudud ini, PAS terus berbalah dengan DAP. Bagus juga mereka berbalah kerana ia dapat melarikan undi bukan Melayu kepada BN. Perbalahan mereka akan menyebabkan pengundi Cina terus menyokong BN. Oleh itu terima kasih kepada Khairy yang membangkitkan isu ini.

Oleh itu seperti kata ahli majlis tertinggi UMNO, Rahim Thamby Chik, kenyataan Anwar menyokong hasrat PAS melaksanakan hukum hudud adalah gimik politik. Ia tidak akan jadi kenyataan kerana DAP akan keluar dari Pakatan Rakyat.
Kenyataan Naib Presiden PAS, Husam Musa bahawa PAS akan terus bergantung kepada DAP dalam mewujudkan pakatan pembangkang yang kuat untuk mengambilalih kepimpinan negara menunjukkan bahawa PAS tidak ada niat untuk melaksanakan hukum hudud. Ia hanya isu politik untuk meraih undi orang Islam sahaja.
PAS akan fikir jika ia teruskan rancangan ini, maka DAP akan keluar dari Pakatan Rakyat. Akhirnya hukum hudud hanya menjadi impian PAS semata-mata untuk memancing undi orang Islam. Oleh itu para pengundi Islam Kuala Terengganu janganlah tertipu dengan PAS lagi.