Sabtu, Januari 03, 2009

KUAT BETUL AURA KHAIRY


Oleh kerana Khairy Jamaluddin berada di Institut Jantung Negara (IJN) atas urusan menemui Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri yang kebetulan ketika itu Menteri Kesihatan pula sedang mengadakan sidang akhbar, terus beliau dituduh terlibat dengan ura-ura mengswastakan IJN.


Pada hal, bukan Khairy ada sama dengan Menteri Kesihatan dalam sidang akhbar itu. Hanya kelibatnya sahaja yang secara kebetulan berurusan melaporkan kedudukan FAM dengan menteri sukan itu.


Kuat betul aura Khairy hingga ke tahap itu mendapat tuduhan yang menyebabkan Khairy terpaksa membuat kenyataan menerangkan kedudukan sebenar. Itupun entah pihak yang menuduh percaya atau tidak, wallahwa’alam bisawab.


Pada saya, sama ada orang percaya atau tidak, Khairy sudah menjawab persoalan itu dengan jelas. Sayangnya, bukan baru sekali calon ketua pemuda itu mendapat tohmahan yang demikian. Cuma baru kali ini beliau menjawab tuduhan. Kalau ikutkan senarai tuduhan yang beliau terima sejak jadi menantu perdana menteri lagi, Khairy tak akan boleh buat kerja lain - asyik menjawab tuduhan orang saja.


Itulah sifat semula jadi orang kita. Bila menuduh, tidak ada seorang pun menyertakan tuduhan mereka dengan bukti. Bila dijawab dan diterangkan, pihak tertuduh diam. Tidak ada pun mereka mahu baiki tuduhan mereka. Kalau tidak dijawab, mereka akan memanjangkan tuduhan itu seolah-olah tuduhan yang dibuat itu benar belaka.


Sekarang ini trend manusia berhati busuk dan buruk sangka sudah secara perlahan-lahan melenyapkan budaya mengirim surat layang. Sebelum ini, surat layang melayang-layang dengan tujuan membinasakan seseorang. Tetapi sekarang blog pula menjadi sasaran tempat manusia berhati busuk melepaskan peluru rambang untuk mengusik dengan tujuan tertentu. Selain Khairy, orang lain pun kena. Sampai rumah Syed Hamid Albar pun kena simbah cat merah.


Dalam hal Khairy, saya lihat beliau jadi mangsa semata-mata kerana dia jadi menantu Pak Lah. Tambah pula, peningkatan Khairy dalam politik dikatakan kerana mendapat aura Pak Lah. Wal halnya, memang sudah dari azali Khairy mahu jadi seorang usahawan berjaya dan bercita-cita menjadi seorang poltikus yang bermula dari bawah. Bukan terus lompat naik ke atas.


Nampaknya lagi tinggi, Khairy pergi, lagi beliau disakiti. Seorang kawan memberitahu, yang menjadikan Tun Mahathir begitu benci dengan Khairy adalah berpunca dari satu soalan ketika pertemuan dengan mantan perdana menteri itu di luar negara beberapa tahun kebelakangan di mana Khairy mengajukan soalan bila Datuk Seri (ketika itu belum Tun) hendak berhenti.


Malahan, saya pun pernah sampai tulis buku bertajuk ‘Surat Terbuka Untuk Mahathir – BILA NAK BERHENTI?’ atas satu sebab saya merasakan tidak salah sebagai rakyat biasa bertanyakan perdana menteri yang mewakili terlalu ramai persoalan dari akar umbi yang bertanyakan soalan yang sama. Bukan setakat ahli UMNO sahaja, dari pemandu teksi, dari pengusaha restoran, dari kerani, dari pegawai kerajaan semua bangsa.


Pada pandangan saya ketika itu, apabila seseorang itu memberi banyak helah dan menggunakan bermacam-macam makanisma hingga menetapkan sistem kuota menyekat dirinya ditentang, ia menjadi penghalang peningkatan dan peluang orang lain.


Saya ibaratkan Mahathir membuat empangan di muara sungai yang menyebabkan airnya melimpah ruah hingga menyebabkan parti unggul orang Melayu menjadi huru hara. Dalam era Mahathir, sekurang-kurangnya empat orang timbalannya kecundang. Mereka ialah Tun Musa Hitam, Tun Ghafar Baba, Tengku Razaleigh Hamzah dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Akibatnya dua orang daripadanya telah menubuh parti lain dan mengangkut berkapal-kapal orang UMNO berpindah ke parti baru. Tengku Razaleigh Hamzah tubuh Semangat 46 dan Anwar Ibrahim tubuh KeAdilan. Semua ahli parti mereka tubuh itu terdiri daripada orang UMNO belaka. Politik Melayu mula berpecah.


Sama ada Mahathir sedar atau tidak akan hal itu, saya tidak pasti. Yang pasti pada saya ialah Mahathir sudah begitu selfish dan menutup kelemahan itu dengan memfokus terlalu banyak projek-projek mega untuk mempertahankan populariti beliau.


Namun Mahathir membuat kejutan mahu melepaskan jawatan dalam satu Perhimpunan Agung UMNO dan peristiwa itu menggemparkan seluruh dunia. Ketika itu politik negara menjadi haru biru seketika. Paling orang ingat ialah ketika itu, Datuk Seri Rafidah Aziz hingga patah tumit kasutnya menerkam Mahathir memujuk supaya tarik balik.


Dalam masa cooling period itu, Mahathir kembali tenang dan menerima pujukan ramai supaya meneruskan khidmatnya hinggalah ke tarikh Mahathir menyerahkan jawatan itu kepada Pak Lah menggantikan tempat beliau.


Selepas itu Pilihan Raya Umum Ke-11, BN menang besar. Tetapi kemenangan itu secara perlahan-lahan telah mengelisahkan Mahathir yang tidak setuju dengan corak pemerintahan Pak Lah yang terbuka, telus dan sedia dikritik atas dasar polisi awalnya ‘bekerjalah dengan saya, bukan bekerja untuk saya.’


Rupanya pelawaan Pak Lah itu telah membawa kepada Pak Lah terus ‘dikerjakan’ hingga dihasak ke dinding dan dengan senang hati Pak Lah menurut kehendak orang UMNO mengumumkan beliau tidak bertanding jawatan presiden dan akan menyerahkan jawatannya kepada timbalannya, Najib Tun Razak pada bulan Mac tahun hadapan. Begitu gentlemannya Pak Lah.


Tun Mahathir pula lain kaedahnya. Beliau meninggalkan UMNO secara mengejut hanya daripada soalan spontan dari ahli biasa UMNO yang bertanyakan kalau beliau sudah benci sangat dengan UMNO, mengapa tak keluar saja dari UMNO? Mahathir terus keluar dari UMNO. Ketika itu tidak ada siapa yang menangis, melutut dan menyembah supaya beliau tarik balik secara serius. Sekarang Mahathir tiada parti.


Dalam pada itu, Khairy sudah menjadi Ketua Pemuda Bahagian Rembau, Ketua Pemuda, Negeri Sembilan, sudah jadi Ahli Parlimen Rembau, Naib Presiden FAM dan sudah memegang jawatan Naib Ketua Pemuda peringkat nasional. Orang UMNO terutama yang menyebelahi Mahathir, Anwar dan Tengku Razaleigh melihat potensi Khairy semakin menyerlah.


Ini membimbangkan ramai pihak. Khairy terus mendapat perhatian dan menerima cukup banyak tohmahan termasuklah yang tak termasuk dek akal. Ini menjadikan Khairy semakin popular dan orang ramai terpaksa terus menilai gerak geri beliau dalam segala segi.


Macam-macam gelaran diberi. Antara paling popular ialah Budak Hitam, Penyamun Tarbus dan macam-macamlah gelaran ikut sedap mulut semata-mata. Tetapi Khairy nampaknya macam buat tak peduli. Baginya mungkin tak perlu jawab dan mengharapkan masyarakat tahu sendiri kebenarannya.


Tetapi apabila Pak Lah turut mendapat hasakan supaya letak jawatan, tidak ada pula pihak yang meminta Khairy letak jawatan ahli parlimen atau semua jawatan pemuda di semua peringkat. Ini menunjukkan Khairy dilihat lebih baik dari Pak Lah.


Kenyataan Datuk Mukhriz supaya Pak Lah letak jawatan menjejaki ayahndanya, ramai yang berkata itu satu balas dendam apa yang Khairy pernah cakap pada Mahathir suatu petemuan dengan pelajar luar negara dulu.


Dalam parti lain seperti PPP dan MIC, siapa yang mengeluarkan kenyataan meminta presiden letak jawatan, jawatankuasa disiplin mereka terus pecat ahli itu. Tetapi ahli UMNO tidak. Mereka lebih rela gantung dan pecat ketua-ketua bahagian yang menyalahi kesalahan lain yang sepatutnya mudah diampun. Sebenarnya akibatnya adalah lebih buruk.


Kerana itulah bila beberapa orang bertanyakan saya apakah Khairy layak mengetuai Pergerakan Pemuda UMNO, saya tidak jawab ya atau tidak kerana saya melihat Mukhriz dan Datuk Seri Mohd Khir Toyo sama-sama mahu merebut jawatan itu.


Bagaimana mereka bergerak, membuat janji, menabur budi, mencari publisi murahan dan menunjuk baik di musim pertandingan ini, saya bimbang mereka tidak ada tujuan lain selain daripada mahu mengalahkan Khairy dengan apa cara sekalipun. Mereka sudah berjaya membuat Pak Lah akhirnya mengalah, jadi tidak hairanlah fokus sekarang ini kepada menantunya pula.


Dalam wacana Tranformasi Politik Malaysia yang berlangsung di Kelantan baru-baru ini, aksi dan keberanian Khairy berada di kancah PAS membuktikan beliau tidak takut berhadapan dengan risiko. Nescaya keberanian ini, Khairy dipercayai pada bila-bila masa sedia berdepan dengan musuh nombor satu UMNO, Anwar Ibrahim atau badan mana pun yang menentang pentadbiran kerajaan yang dipimpin UMNO. Kehebatannya semakin menyerlah dan ketahui ramai betapa Khairy mempunyai potensi menjadi pemimpin masa depan yang berkelibar. Orang macam inikah harus kita ‘bunuh’ seperti Hang Nadim yang menyelamatkan Singapura di langgar todak?


Sepatah kata seorang veteran UMNO dari selatan, orang UMNO yang suiman lebih ramai daripada yang kurang suiman. Jadi, soal menilai siapa layak, ahli UMNO tidak kiralah di peringkat mana pun akan memilih calon yang tepat. Tidak semestinya siapa tabur lebih akan mendapat undi tetapi apa yang sudah tertanam dalam hati dan fikiran orang Melayu ialah mereka tetap membuat penilian akhir siapa sebenarnya pejuang untuk agama, bangsa dan tanah air (alif, ba, ta).


UMNO sudah nyata memerlukan pemimpin bercakap benar, lancar, berilmu, berfakta, amanah, tidak lupa, sempurna fisikal dan mental, berani bertempat, prihatin, peka dengan keadaan keliling, sabar berhad, pemaaf, sedia membantu, berbudi bahasa, hormat, tidak bercakap besar, bijaksana, ikhlas, pendengar yang baik, penampilan diri yang sesuai pada keadaan, jijik dengan umpatan kosong, menilai ketepatan waktu, bersyukur dan mengamalkan amalan terpuji di sisi agamanya.


Ingatlah bahawa UMNO sedang berdepan dengan bermacam bentuk gejala. Serangan tanpa henti dari Anwar Ibrahim dan koncu-koncunya, HINDRAF, Sique, Jerit, Majlis Peguam, DAP dan macam-macam pertubuhan halal haram yang mahu merobohkan pakatan murni Barisan Nasional yang sedang mentadbir negara ini.


Tidak ketinggalan gejala-gejala dari dunia luar tidak lekang dengan campur tangan mereka mahu menggugat. Ancaman dalam dari individu yang gagal serta yang berkepentingan diri juga tidak terkecuali daripada terus mengancam keharmonian dan kemakmoran kita. Orang Melayu yang berkuasa memilih mewakili umat Melayu yang mewakili orang Melayu dalam UMNO harus menilai yang mana intan, yang mana batu jalanan.

(dipetik dari kolum Sembang Dengan Abang Zek dalam akhbar WATAN 4 Januari 2009)