Semua orang terkejut apabila Presiden PAS, Datuk Seri Haji Hadi Awang mengumumkan nama ADUN Wakaf Mempelam, Abdul Wahid Endut sebagai calon PAS untuk menentang calon BN, Datuk Wan Farid Wan Salleh dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu pada 17 Januari ini.
Nama Wahid tidak pernah disebut orang. Yang sering disebut orang ialah ADUN Batu Buruk, Dr. Syed Azman Syed Nawawi dan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Mustafa Ali. Wahid adalah Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Terengganu. Dia adalah setaraf dengan Wan Farid sebagai Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu.
Wahid kini sudah masuk penggal kelima menjadi ADUN Wakaf Mempelam sejak tahun 1990. Dengan menangnya PAS di tiga DUN, Wakaf Mempelam, Batu Buruk dan Ladang pada pilihan raya umum lalu, ini bermakna pertandingan antara BN dengan PAS semakin sengit. PAS sudah ketandusan calon kerana terpaksa meletakkan ADUN Wakaf Mempelam. Atau PAS tidak yakin menang, maka jika Wahid kalah pun, Wahid tidak rugi apa-apa kerana Wahid sudah jadi ADUN.
Kita masih ingat apabila BN meletakkan ADUN Seberang Jaya, Datuk Arif Shah Omar Shah sebagai calon pilihan raya kecil Permatang Pauh, parti pembangkang mengatakan BN ketandusan calon. Nampaknya PAS pula ketandusan calon kerana terpaksa meletakkan Wahid.
Jika Wahid menang, Wahid yang juga Bendahari PAS Terengganu setaraf dengan Haji Hadi yang memegang dua kerusi, DUN Rhu Rendang dan parlimen Marang. Bila PAS meletakkan Wahid sebagai calon, ini bermakna PAS yakinWahid menang. Jika tidak masakan PAS mahu membuang masa meletakkan Wahid. Mungkin jika dia menang pada pilihanraya kecil ini, pada pilihanraya umum 2012, Wahid nampaknya bertanding kerusi parlimen Kuala Terengganu sahaja dan dia terpaksa mengorbankan kerusi DUN Wakaf Mempelam kepada tokoh lain pula.
Namun demikian peluang Wan Farid untuk menang tetap ada. Maka BN kena kerja kuat untuk mengalahkan Wahid Endut. PAS patut berterima kasih kepada kerajaan BN yang membenarkan pengumuman nama calon dibuat di Stadium Negeri. Masa PAS memerintah Terenganu dari tahun 1999 hingga 2004, jangan harap kerajaan PAS beri kepada BN guna dewan milik kerajaan negeri. Ini menunjukkan kerajaan BN di bawah Datuk Ahmad Said lebih terbuka.