Jumaat, Oktober 17, 2008

MUHYIDDIN JANGAN CAKAP BANYAK


Tempoh berkempen lima bulan memang lama, kata Muhyiddin Yassin dalam akhbar hari ini. Memang ia menjejaskan produktiviti terutamanya kepada calon yang ada jawatan dalam kerajaan.

Cuba bayangkan jika semua calon Timbalan Presiden dapat kuota yang cukup. Muhammad Muhd. Taib akan jelajah seluruh negara sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar. Beliau akan tidur di seberapa banyak rumah di kampong kerana mahu menunjukkan bahawa beliau adalah satu-satunya menteri berjiwa rakyat. Muhyiddin selaku Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri seberapa banyak cuba melawat kawasan industri di seluruh negara. Manakala Ketua Menteri Melaka, Ali Rustam agak terhad untuk menjelajah negara kecuali ada majlis UMNO yang mana beliau boleh hadir di atas kapasiti Naib Presiden UMNO.

Kenapa sekarang baru Muhyiddin bangkitkan soal ini? Kenapa beliau tidak bangkitkan dalam mesyuarat khas majlis tertinggi UMNO sebelum hari raya dahulu? Nampak sangat Muhyiddin terus-menerus mahu menjadi hero. Memanglah sepatutnya perhimpunan agung UMNO diadakan pada bulan Disember ini tetapi Pak Lah minta tangguh ke Mac kerana tugasnya belum selesai.

Beliau akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Najib pada bulan Mac ini walaupun tarikhnya belum ditetapkan lagi. Oleh itu apabila Muhyiddin membangkitkan semula isu ini, ia amat membingungkan ahli UMNO. Mentang-mentang beliau telah meninggalkan jauh Muhammad dan Ali dari segi pencalonan, beliau cakap banyak.

Katanya, “saya fikir saya mahu serahkan kepada Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri. Saya tidak mahu cadangkan apa-apa sebab sesetengah orang cakap yang Muhyiddin sekarang terlalu banyak bercakap”.

Beliau sedar bahawa beliau bercakap banyak. Sepatutnya bila majlis tertinggi sudah buat keputusan, tidak perlu lagi beliau membangkitkannya. Adakah Najib mahu timbalannya cakap banyak macam Muhyiddin? Ini memberi kelebihan kepada Muhammad dan Ali jika mereka dapat kuota yang cukup untuk menentang Muhyiddin. Muhyiddin kini dapat 24 pencalonan manakala Ali dapat tiga pencalonan dan Muhammad dapat dua pencalonan.

Muhyiddin tidak boleh marah kerana jawatan ini ada kekosongan. Bukannya Ali dan Muhammad menentang penyandang jawatan. Oleh itu Muhyiddin tak perlu cakap banyak. Bila cakap banyak, makin kurang undi. Adakah Tan Sri sudah lupa kepada peristiwa 1981? Ku Li salah cakap sahaja, Musa Hitam yang menang dalam pertandingan Timbalan Presiden UMNO itu sedangkan Ku Li lebih banyak dapat pencalonan dari Musa. Belajarlah dari sejarah.