Khamis, Oktober 09, 2008

LIMA BULAN TERAKHIR SEORANG PM


Pak Lah yang akan melepaskan jawatan Presiden UMNO pada Mac 2009 sempat menjadi Perdana Menteri Malaysia selama lima tahun lima bulan sahaja mulai 31 Oktober 2003. Pak Lah tak sempat membuat sesuatu yang besar untuk Malaysia seperti mana Dr. Mahathir banyak buat untuk negara kerana beliau menjadi PM selama 22 tahun. Apa yang dapat dibuat dalam masa lima tahun?

Tindakan Pak Lah tidak mempertahankan jawatan Presiden UMNO memang tepat kerana beliau gagal mempertahankan lima negeri, Kelantan, Kedah, Perak, Selangor dan Pulau Pinang dalam pilihan raya umum 2008. Maka penggantinya sama ada Najib atau Ku Li ada masa untuk membawa semula BN ke puncak jaya untuk merampas semula lima negeri tersebut pada pilihan raya umum 2012.

Pak Lah akan dikenang dengan Islam Hadhari dan koridor sahaja, NCER, ECER dan Willayah Iskandar dan sebagainya. Sebagai PM Malaysia yang kelima tidak banyak pencapaian yang dibuat Pak Lah. Malah ada yang bergurau bahawa kalau Tunku Abdul Rahman dipanggil Bapa Malaysia, Tun Razak dipanggil Bapa Pembangunan, Hussein Onn dipanggil Bapa Perpaduan, Dr. Mahathir dipanggil Bapa Pembangunan Moden manakala Pak Lah dikenali sebagai bapa mertua Khairy.

Malah kejayaan Pak Lah menikah dengan Jeanne Abdullah dijadikan bahan jenaka kerana Pak Lah bukan sahaja boleh mengawal manusia malah bernikah dengan jin. Pak Lah hilang panduan bila Hendon meninggal dunia. Sebab itu dia perlukan penggantinya, Jeanne yang diharapkan dapat menceriakan kembali hidupnya. Tetapi rupa-rupanya bukan mudah menjadi Perdana Menteri yang mana Dr. Mahathir banyak kali meluahkan rasa kesal memilih Pak Lah sebagai penggantinya kerana selama ini dia tak tahu Pak Lah banyak tidur.

Bagaimanakah nasib Khairy tanpa Pak Lah? Dapatkah beliau menang dalam pertandingan Ketua Pemuda menentang Mukriz Mahathir, Zahidi Zainol Abidin dan Dr. Khir Toyo? Selama ini ramai orang marah kepada Pak Lah kerana Pak Lah terlalu banyak beri muka kepada Khairy.

Menurut seorang Ketua Bahagian yang pernah hantar satu proposal kepada Pak Lah, bila dia hulur proposal itu kepada Pak Lah, Pak Lah minit proposal itu kepada tingkat empat. Ketua Bahagian itu terus mengoyak proposal yang sudah disokong Pak Lah tanpa menghantarnya ke tingkat empat.

Ini menunjukkan betapa lemahnya Pak Lah dalam pentadbiran kerana dikelilingi oleh anak menantunya yang amat mengecewakan Dr. Mahathir yang menamakan beliau sebagai penggantinya. Dr. Mahathir kesal kerana Pak Lah banyak dipengaruhi oleh Khairy dan Kalimullah.

Pak Lah memang tak suka membaca. Ada orang hantar proposal untuk uruskan subsidi yang dapat menyelamatkan wang negara tetapi Pak Lah tak baca proposal itu sebaliknya memberi rebat kepada pemilik kenderaaan dibayar melalui pejabat pos yang dikaitkan syarikat itu dengan Khairy. Pendek kata Khairy amat kaya. Baguslah dia tabur wang untuk dapatkan pencalonan Ketua Pemuda. Sumber dari Sabah mengatakan bahawa orang Khairy beri RM100,000 kepada setiap bahagian untuk mendapatkan pencalonan.Ketua Pemuda. Baguslah Khairy beri duit zakat kepada perwakilan pemuda.

Sepanjang lima tahun ramai ahli perniagaan kecewa kerana bisnes tidak ada. Yang dapat bisnes orang yang rapat dengan Khairy. Memang betul sajak Pak Lah bahawa beliau tidak mahu kumpul harta bertimbun-timbun, tetapi yang kumpul ialah anak menantunya. Oleh itu ramai ahli perniagaan yang jatuh bangkrap di zaman Pak Lah. Ini yang menyebabkan orang Cina lari dari menyokong BN kerana mereka kata susah mahu cari makan di zaman Pak Lah.

Ramai yang marah kepada Pak Lah bila BN tewas lima negeri. Ada yang menuding jari kepada Pak Lah kerana gagal mempertahankan lima negeri. Sebaliknya yang patut letak jawatan ialah Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri kerana gagal menyelamatkan BN. Dalam soal ini Dr. Khir Toyo wajar dipuji kerana melepaskan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor sedangkan Anuar Musa, Mahazir Khalid dan Tajol Rosli tidak berbuat demikian. Yang anehnya Anuar Musa gagal mempertahankan Kelantan tetapi dianugerah Tan Sri pula di atas jasa mengekalkan kerajaan PAS di Kelantan.

Ramai yang kecewa dengan Pak Lah kerana istana tidak hormati jawatan Perdana Menteri apabila Sultan Terengganu dan Raja Perlis menolak calon Pak Lah sebagai MB. Pak Lah terpaksa tunduk kepada istana. Ia tidak mungkin berlaku jika Dr. Mahathir masih menjadi PM.

Kekalahan lima negeri dikaitkan dengan Khairy. Orang menyampah kerana menantu PM lebih senduk dari sudu. Itu yang dikatakan oleh Ketua Wanita, Rafidah Aziz dalam mesyuarat majlis tertinggi UMNO yang pertama selepas pilihan raya umum 8 Mac. Teguran Rafidah itu menyebabkan beliau tersingkir dari jawatan menteri dan tidak pernah Ketua Wanita tidak berada dalam kabinet Malaysia.

Khairy banyak merosakkan UMNO. Kempennya di Permatang Pauh menyebabkan majoriti calon PKR, Anwar Ibrahim semakin bertambah. BN tidak dapat menambah undinya. Tekanan begitu kuat kepada Pak Lah dalam mesyuarat majlis tertinggi UMNO lalu apabila Muhyiddin minta Pak Lah mengkaji semula pelan peralihan kuasa pada Jun 2010. Malah Hishamuddin, Rafidah dan Shafie Afdal berani bersuara menentang Pak Lah dalam mesyuarat itu yang dikatakan Pak Lah hampir menangis.

Apa rasionalnya Pak Lah menangguhkan Perhimpunan Agung UMNO kepada bulan Mac tahun depan sedangkan beliau tidak mahu bertanding semula jawatan tersebut? Sepatutnya perhimpunan itu tidak wajar ditangguhkan. Biarlah bulan Disember ini Presiden baru UMNO mengambil alih jawatan Perdana Menteri dari Pak Lah.

Pak Lah kata dia ada kerja yang belum selesai untuk menubuhkan Suruhanjaya Perlantikan Hakim, Suruhanraya Pencegahan Rasuah. Sebab itulah beliau minta tangguh selama tiga bulan.

Pak Lah sudah 30 tahun menjadi ahli politik sejak tahun 1978. Bertanding dalam pilihan raya kali pertama pada tahun 1978 di Kepala Batas, beliau menapak dari bawah. Mula-mula sebagai setiausaha parlimen, selepas itu timbalan menteri dan akhirnya sebagai menteri di zaman Dr. Mahathir pada tahun 1981.

Mula-mula sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (1981-1984), Menteri Pelajaran (1984-1986), Menteri Pertahanan (1986-1987) sehinggalah dipecat dari jawatannya kerana menyokong Ku Li yang menentang Dr. Mahathir dalam pertandingan 24 April 1987.

Beliau kembali ke kabinet pada tahun 1991 sebagai Menteri Luar sehinggalah dilantik Timbalan Perdana Menteri pada tahun 2000 dan pada masa yang sama dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri. Apabila dilantik sebagai Perdana Menteri pada 31 Oktober 2003, beliau mengambil alih kementerian kewangan dan sekali gus memegang jawatan Menteri Dalam Negeri. Baru-baru ini beliau kembali ke kementerian pertahanan dan menyerahkan kementerian kewangan kepada Najib. Yang peliknya, kariernya berakhir di kementerian pertahanan sebanyak dua kali. Pada tahun 1987, beliau dipecat dari jawatan menteri ketika berada di kementerian tersebut dan pada bulan Mac ini beliau berhenti sebagai Perdana Menteri ketika menjadi Menteri Pertahanan juga.

Dalam politik, Pak Lah cepat naik. Baru dilantik setiausaha parlimen pada tahun 1978, beliau menang Ahli Majlis Tertinggi UMNO pada tahun 1981. Pada tahun 1984, beliau menang dalam percubaan pertamanya sebagai Naib Presiden UMNO. Pada tahun 1987, beliau berjaya mengekalkan kerusi tersebut walaupun beliau dari kumpulan team B. Pada tahun 1990, tanpa jawatan menteri, beliau tetap menang kerusi Naib Presiden UMNO buat penggal ketiga. Pada tahun 1993, beliau tewas kerana team wawasan yang dianggotai Najib, Muhammad dan Muhyiddin berjaya menyingkirkan Pak Lah dan Sanusi.

Sudah sepenggal beliau tewas Naib Presiden (1993-1996), beliau kembali ke jawatan itu dengan menyingkirkan Muhyiddin pada tahun 1996. Pada tahun 2000, beliau sudah menjadi Timbalan Presiden UMNO yang baru dan akhirnya pada tahun 2004, beliau menjadi Presiden UMNO. Beliau tidak pernah terfikir bahawa beliau dapat naik ke atas kerana beliau pernah dipecat menteri dan pernah kalah jawatan Naib Presiden. Tetapi kuasa Allah yang mahu Pak Lah menggantikan Dr. Mahathir dan bukannya Anwar atau Musa atau Ghafar Baba yang sepatutnya menjadi Perdana Menteri selepas Dr. Mahathir.

Allah telah meletakkan Pak Lah sebagai Perdana Menteri. Apabila majlis tertinggi dapati bahawa beliau tidak mampu lagi menerajui UMNO, maka majlis tertinggi membantah peralihan kuasa pada Jun 2010. Biarlah peralihan kuasa disegerakan kerana pada tahun ini kerana memang ada pemilihan Presiden UMNO. Biarlah perwakilan menentukan sama ada Najib atau Ku Li yang layak jadi Presiden UMNO yang baru.

Sebagai Menteri Pertahanan, Pak Lah tidak dapat dipertahankan lagi oleh ahli majlis tertinggi. Oleh itu supaya UMNO dan BN tidak berpecah, maka tindakan Pak Lah pada 8 Okober lalu dianggap sebagai satu pengorbanan yang besar buat negara. Inilah kali pertama negara diketuai oleh seorang bekas PTD kerana sebelum ini tiga orang perdana menteri datangnya dari peguam dan seorang dari doktor.

Sebagai bekas PTD, Pak Lah banyak buat reformasi dalam pentadbiran dan undang-undang negara. Kecuali ISA yang tidak dapat dikaji semula yang menyebabkan menteri yang jaga undang-undang, Datuk Zaid Ibrahim meletakkan jawatan. Inilah kali pertama dalam sejarah kabinet, menteri meletakkan jawatan kerana tidak bersetuju dengan dasar kerajaan.

Pada Mac nanti, Pak Lah akan menyertai Persatuan Bekas Perdana Menteri yang kini dianggotai oleh Dr. Mahathir. Semoga Pak lah gunakan lima bulan terakhir ini untuk menebus kembali kesilapan yang dilakukannya selama lima tahun ini. Selamat bersara Pak Lah!