Khamis, Oktober 09, 2008

ANTARA NAJIB DAN KU LI: PAK LAH KENA BERKECUALI


Pak Lah kata beliau akan serahkan jawatan Perdana Menteri kepada Najib pada bulan Mac ini. Sepatutnya Pak Lah tak boleh berkata begitu. Takdirnya Ku Li cukup pencalonan dan menang, sudah tentu Pak Lah kena serahkan jawatannya itu kepada Ku Li dan bukannya kepada Najib.

Oleh itu Pak Lah kena diam seperti kata Dr. Mahathir Mohamad yang menyuruhnya diam sehingga bulan Mac ini. Makin banyak Pak Lah bercakap makin ramai ahli UMNO menyampah kepadanya. Jadi semakin kuat dia menyokong Najib, Ku Li yang akan mendapat undi simpati dari para perwakilan. Oleh itu Pak Lah kena berkecuali.

Pak Lah sepatutnya menyerahkan kepada para perwakilan sama ada mereka mahu Najib atau Ku Li menerajui UMNO. Ada yang mengatakan bahawa di peringkat awal penubuhan UMNO, anak raja yang perlu pimpin UMNO iaitu Tunku Abdul Rahman. Sekarang ini BN kehilangan lima negeri. Maka UMNO perlukan anak raja lagi, Ku Li, untuk menyelamatkan UMNO dari tersungkur pada pilihan raya umum 2012.

Pada tahun 1987, Ku Li yang menentang Dr. Mahathir mendapat 37 pencalonan sahaja tetapi dia kalah 43 undi kepada Dr. Mahathir dalam pertandingan 24 April itu. Tahun ini mampukah Ku Li mendapat 58 pencalonan (kuota minima untuk bertanding jawatan Presiden UMNO)?

Kem Ku Li yakin 140 Bahagian akan mencalonkannya. Itu suasana jika Pak Lah masih mempertahankan jawatannya. Dalam suasana Najib yang akan bertanding, tidak mungkin Ku Li mendapat 140 pencalonan.Kalau beliau lepas kuota syukurlah. Tapi berhadapan dengan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan bukannya mudah kerana Ku Li tidak ada jawatan dalam kerajaan.

Tambahan pula majoriti Ketua Bahagian sekarang dikuasai bekas Ketua Pemuda di zaman Najib. Lagipun Ketua Bahagian yang pro Ku Li sudah ramai yang bersara dari politik. Ada yang menganggap bahawa zaman Ku Li sudah berlalu. Najib bukanlah lawannya. Saingan Ku Li adalah Dr. Mahathir dan Musa Hitam yang sudah lama bersara dari politik.

Ada yang menganggap bahawa Ku Li memang hebat berbanding dengan Najib. Malah Najib tidak dapat mengatasi kehebatan ayahnya, Tun Razak. Antara Najib dengan Tun Razak, ibarat bumi dengan langit. Ku Li menganggap bahawa ayah Najib adalah mentor politiknya dan Najib pula pernah bekerja dengan Ku Li di Petronas. Malah ketika Ku Li menjadi Menteri Kewangan, Najib pernah jadi Timbalan Menteri Kewangan.

Najib lebih mudah dapat pencalonan kerana beliau adalah Timbalan Perdana Menteri. Tetapi tidak mustahil Ku Li pun dapat pencalonan kerana bila dibandingkan di atara dua tokoh ini, siapa lebih bersih, sudah tentu perwakilan dapati Ku Li lebih bersih dari skandal.Oleh itu para perwakilan perlu memikirkan masa depan UMNO.

Mereka perlu mencalonkan Presiden UMNO bukan kerana mereka dapat projek dari calon atau dapat saham dari calon sebaliknya memikirkan siapa yang dapat menyelamatkan UMNO dari ancaman Pakatan Rakyat? Tepuklah dada tanya selera