Memaparkan catatan dengan label undi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label undi. Papar semua catatan

Selasa, Januari 26, 2016

BN KEDAH KALAH PADA TAHUN 2008 KERANA PENYOKONG MAHATHIR UNDI PAS



Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamed semalam mendakwa kumpulan yang merancang untuk menyingkirkan Datuk Seri Mukhriz Mahathir daripada jawatan Menteri Besar Kedah adalah kumpulan sama yang menyebabkan Umno kalah di Kedah pada pilihan raya umum 2008.

Sambil menyifatkan kumpulan itu tidak mempunyai reputasi baik, beliau berkata langkah mereka menuntut penyingkiran Mukhriz merupakan suatu tindakan yang "amat bersifat politik".

"Mereka mengambil langkah itu tanpa mendapatkan pandangan rakyat (golongan akar umbi) dan merekalah (rakyat) yang akan terpaksa menangung akibatnya (sekiranya berlaku sebarang perubahan terhadap kepimpinan negeri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Global Doctors Clinic, satu rangkaian perkhidmatan perubatan antarabangsa di Langkawi.

Dr Mahathir berkata ketika menjadi perdana menteri, beliau ada melakukan perubahan terhadap kepimpinan Umno Kedah, namun parti itu dapat terus mentadbir Kedah.

Rabu lepas, Timbalan Ketua Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah mengetuai satu sekumpulan terdiri daripada 15 ketua bahagian Umno, Anggota Dewan Undangan Negeri dan Anggota Parlimen dari Kedah untuk menyuarakan kehilangan keyakinan mereka terhadap Mukhriz dan menuntut penyingkirannya sebagai Menteri Besar.

Ulasan saya, BN Kedah kalah pada tahun 2008 bukan kerana kumpulan yang sama mahu menjatuhkan Mukhriz minggu lepas. Pada tahun 2008, Umno Kedah diketuai Mahadzir Khalid manakala Ahmad Bashah bukan pemimpin utama Umno Kedah ketika itu.




Ketika itu BN Kedah kalah kerana Dr Mahathir keluar dari Umno menentang kepimpinan Pak Lah. Kebetulan pula Mahadzir Khalid yang juga bekas setiausaha politik Pak Lah dilihat sebagai orang Pak Lah. Oleh itu para penyokong Dr Mahathir yang mengundi PAS pada tahun 2008. Oleh itu siapa pengkhianat Umno, Dr Mahathir atau Mahadzir Khalid?

Pada tahun 2008, PAS menang 17 kerusi manakala BN menang 14 kerusi, PKR 4, DAP 1 dan Bebas 1. Ini bermakna Pakatan Rakyat 23 BN 17, kurang enam kerusi.

Selepas PRU 2008, Ahmad bashah dilantik timbalan pengerusi perhubungan Umno Kedah membantu pengerusinya Shafie Apdal. Selepas itu barulah Ahmad bashah dilantik pengerusi Umno kedah dan menjelang PRU 2013 Najib mengumumkan Mukhriz sebagai MB barulah BN Kedah menang. Ini bermakna penyokong Dr Mahathir yang undi PAS pada tahun 2008 kembali mengundi BN pada tahun 2013.

Ini bermakna bukannya PAS kuat pada tahun 2008 tetapi ahli Umno yang mengundi PAS pada tahun tersebut. Jika PAS kuat sudah tentu BN tak menang semula pada tahun 2013.

Seperti kata Ahmad bashah jika beliau gilakan jawatan MB sudah tentu beliau sabotaj BN Kedah pada PRU 2013 tetapi sebaliknya beliau bekerja keras menangkan BN walaupun Najib sudah mengumumkann Mukhriz bakal MB Kedah yang baru.

Sebab itu jika BN Kedah kalah pada PRU 2018, maka penyokong Dr Mahathir yang kembai mengundi PAS dan bukannya kerana PAS kuat. 

Jumaat, Januari 22, 2016

JIKA MUKHRIZ TIDAK LETAK JAWATAN, MUKHRIZ AKAN HADAPI UNDI TIDAK PERCAYA

Dua hari lepas Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Ahmad Bashah Hanipah mengadakan sidang akhbar mahu PM menukar segera MB Kedah, Mukhriz Mahathir kerana 14 ketua Umno Bahagian tidak lagi yakin dengan kepimpinan Mukhriz yang gagal menyatukan para pemimpin Kedah selepas pemilihan 2013. Majoriti ADUN Kedah turut bersama Bashah dalam sidang akhbar tersebut.

Mukhriz yang ketika itu berada dalam satu majlis di Kg Berjaya, Alor Star terus bergegas pulang ke pejabatnya mengadakan mesyuarat tergempar. Pada sebelah malam 1,000 orang menyambut beliau di Bangunan Tunku Alor Star melahirkan sokongan kepada beliau.

Mukhriz berkata beliau tidak perlu tunduk kepada 14 ketua bahagian kerana 2 juta rakyat Kedah menyokongnya sebagai MB. Malah beliau lebih percaya kepada laporan media sosial bahawa 95 peratus menyokongnya walaupun yang menyokongnya bukan pengundi Kedah.

Setakat ini Mukhriz masih menjalankan tugas macam biasa. Pagi semalam,beliau menghadiri majlis pengurniaan pingat kebesaran sempena hari keputeraan Sultan Kedah. Sebelah petang pula menghadiri majlis Umno Bahagian Jerlun yang diketuainya.

Sekarang ada dua pilihan buat Mukhriz sama ada beliau meletakkan jawatan kerana majoriti ADUN tidak menyokongnya lagi atau menunggu sidang khas Dewan Undangan Negeri untuk menyingkirkannya. Jika beliau berdegil, maka ADUN BN akan mengundi tidak percaya kepadanya .Seperti kata ahli majlis  tertinggi Umno, Ahmad Shabery Cheek, Mukhriz perlu sensitif kepada pandangan ketua bahagian kerana mereka mewakili majoriti rakyat Kedah.

Soal Najib membalas dendam kepada Dr Mahathir tidak timbul kerana ini masalah 14 ketua bahagian yang tidak mahu menerima kepimpinan Mukhriz lagi. Saya masih ingat tiga bulan lepas dalam whatsapp grup Ali Tinju, saya menulis sudah sampai masanya setpol PM yang berasal dari Kedah mengumpulkan ketua bahagian yang tidak menyokong Mukhriz. Beliau whatsapp saya secara personal kenapa dia yang kena buat. Saya pun jawab oleh kerana beliau setpol PM maka beliau yang kena buat. Saya kata takkanlah PM nak arah beliau buat. PM tak nak nampak beliau terlibat. Sekarang ini pun orang tuduh PM yang jadi dalang walaupun PM tidak tahu menahu.

PM kata beliau mahu berjiwa besar. Jika beliau tidak ambil tindakan memberhentikan Mukhriz, maka beliau tidak peka dengan kehendak 14 ketua bahagian. Oleh itu PM kena bertindak segera. Jika Mukhriz berdegil maka beliau kena tunggu undi tidak percaya yang akan dibuat dalam sidang DUN.

Sebaik baiknya Mukhriz ikut jejak langkah Ahmad Said pada tahun lepas. Ahmad Said tidak kumpul para penyokongnya. Sebaliknya beliau akur meletakkan jawatan secara baik walaupun beliau keluar dari Umno sekejap kerana marah dengan tindakan Najib.

Ahad, Oktober 25, 2015

UNDI PEMBANGKANG PUN DAPAT PROJEK RM80 BILLION

Saya sudah teliti Bajet 2016 yang dibentangkan PM, Najib Razak Jumaat lalu. Bajet itu banyak membantu rakyat tetapi yang paling sedih kerajaan buang duit yang banyak di kawasan pembangkang tetapi undi belum tentu dapat.

Untuk mempastikan rakyat Kuala Lumpur selesa menaiki pengangkutan awam, maka kerajaan mencurahkan RM80 billion dalam pembinaan LRT dan MRT yang terletak di kawasan pembangkang. Alangkah baiknya wang RM80 billion itu ditabur ke kawasan luar bandar yang majoritinya pengundi BN. Jika wang sebanyak itu dibuat satu projek mega, BN akan dapat semula undi sebaliknya pembangkang yang dapat undi di sebalik RM80 billion ini.

Adakah kerajaan BN terlalu pemurah? Atau kerajaan mendahulukan rakyat tanpa mengambil kira pulangan undi? Kita lihat apa yang Najib umum dalam Bajet jumaat lalu iaitu laluan LRT Ampang sambungan akan siap pada Mac 2016 sejauh 18.1 km. Manakala sambungan LRT Kelana Jaya- Putra Heights sejauh 17.4km dijangka siap pada tahun 2016  dengan kos RM10 billion. Berapa banyak kawasan parlimen yang terlibat? Semua yang terlibat adalah kawasan parlimen pembangkang.

Betapa baiknya kerajaan BN. MRT Sungai Buloh-Semantan dijangka siap Dsember 2016 manakala Fasa 2 MRT dari Semantan ke Kajang dijangka siap pertengahan 2017 sejauh 51km bernilai RM32 billion. DUN Kajang milik siapa? Milik ketua pembangkang, Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Ada beliau ucap terima kasih kepada BN? Projek MRT II Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya sejauh 52km yang memberi manafaat kepada 2 juta penduduk dibina dengan kos RM28 billion. Ia dijangka dibina pada tahun 2016 dan dijangka siap pada tahun 2022.

Baru nampak pengundi BN dapat untung melalui MRT II kerana parlimen Putrajaya milik BN. Manakala LRT3 dari Bandar Utama-Johan Setia-Klang sejauh 36km menelan belanja RM10 billion juga dibina dari tahun 2016 hingga 2022. Sekali lagi pengundi parti pembangkang yang dapat faedah dari pembinaan LRT3 ini.

Sayang BN habiskan RM80 billion tetapi BN hanya dapat satu kerusi parlimen sahaja, Putrajaya. Sepatutnya kerajaan tak perlu habiskan duit RM80 billion buat LRT dan MRT di kawasan pembangkang kerana mereka tetap menolak BN. Seperti kata Presiden MCA, Liow Tiong Lai orang Cina akan mengundi BN pada PRU 14 kerana ramai golongan pertengahan B40 dapat manafaat dari pengecualian cukai pendapatan. Saya rasa nak tergelak kerana orang Cina akan tetap mengundi DAP dalam PRU akan datang.

Selasa, Ogos 06, 2013

PECAH UNDI TAK TIMBUL

KOTA KINABALU: Bekas Ketua Umno Bahagian Tenom, Datuk Rizalman Abdullah (gambar) berkata soal pecah undi tidak timbul jika dua calon dari Sabah bertanding jawatan Naib Presiden Umno pada 5 Oktober ini. Katanya, perwakilan memilih Naib Presiden bukan kerana soal kenegerian tetapi kerana kelayakan mereka. “Malah perwakilan Umno pernah memilih Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Naib Presiden Umno pada tahun 1987 sedangkan mereka dari negeri yang sama, Pulau Pinang,” kata beliau kepada FMT ketika mengulas desas-desus Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Salleh Said Keruak akan menyertai pertandingan Naib Presiden Umno. Semalam FMT menyiarkan kemungkinan Salleh yang pernah menjadi Ketua Menteri Sabah akan turut bertanding jawatan tersebut yang memungkinkan perpecahan undi dari Sabah. Datuk Seri Shafie Afdal merupakan pemimpin Sabah yang pertama memenangi jawatan Naib Presiden Umno pada tahun 2009 selepas Umno bertapak di Sabah pada tahun 1991. Sehingga ini, dua calon Naib Presiden, Shafie Afdal dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah mengesahkan mereka akan mempertahankan jawatan manakala Datuk Seri Hishamudin Husein belum lagi mengesahkannya. “Jika Shafie dan Salleh bertanding, ia tidak akan memecahkan undi dari Sabah,” kata beliau. Rizalman yang juga bekas Setiausaha Parlimen Kementerian Penerangan berkata perwakilan menilai pemimpin yang layak jadi Naib Presiden Umno berdasarkan ketokohan mereka dan bukannya kerana soal kenegerian. “Kalau dua calon dari Sabah ini layak duduk di situ, tidak mustahil mereka menang kerana perwakilan bijak membuat keputusan,” katanya lagi. (dipetik dari freemalaysiatoday.com) Sehingga ini Salleh tidak dapat dihubungi untuk pengesahan sama ada beliau akan merebut kerusi Naib Presiden Umno itu atau tidak.

Khamis, Oktober 08, 2009

4,602 PENGUNDI POS BUANG UNDI HARI INI


Para pengundi Pos bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang membuang undi hari ini di Pusat Asas Latihan Tentera Darat (Pusasda) dan Ibu Pejabat polis Daerah Port Dickson di sini bermula pukul 8 pagi.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, sebanyak 4,602 undi pos telah dikeluarkan untuk tujuan tersebut iaitu membabitkan 4,571 anggota tentera dan 31 anggota polis.

''Kita membuat keputusan untuk membuka satu saja pusat pengundian (untuk pengundi pos tentera) atas permintaan pihak tentera yang bertanggungjawab ke atas kem-kem ini. Kalau terlalu banyak susah hendak dikawal.

''Sehubungan ini kita kumpulkan semua sekali di Pusasda esok," katanya selepas meninjau proses pengeluaran dokumen undi pos yang turut dihadiri ejen calon di Kompleks Pentadbiran Daerah Port Dickson semalam.

Wan Ahmad berkata, untuk proses undi pos esok hanya seorang wakil calon dibenarkan masuk bagi memantau proses pembuangan undi.

Bagaimanapun beliau memberi jaminan ejen calon boleh memantau keseluruhan proses tanpa halangan.

Menjawab satu soalan beliau berkata, keputusan sama ada pembuangan undi pos akan dibuat dalam masa sehari atau dua hari bergantung kepada keadaan.

''Untuk undi pos ini juga tarikh terakhir untuk dipulangkan kepada SPR ialah pada 11 Oktober sebelum pukul 5 petang. Ini adalah khas untuk anggota tentera yang menjadi pengundi tetapi berada di luar Port Dickson," katanya.

Ujar beliau, sekiranya undi pos lewat diterima oleh SPR dalam tempoh masa yang ditetapkan ia akan dimasukkan ke dalam peti lain dan ia tidak akan dikira.

Khamis, Oktober 01, 2009

UNDI POS JUGA BERPIHAK KEPADA PAS


Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata undi pos yang dicanang oleh pembangkang kononnya menjadi senjata utama kepada Barisan Nasional (BN) sebenarnya memberikan kelebihan kepada pembangkang pada pilihan raya umum ke-12 lalu di Bagan Pinang.

Katanya pada pilihan raya umum 2008, majoriti BN di Bagan Pinang merosot kerana undi pos berpihak kepada pembangkang.

"Pembangkang tidak boleh kata undi pos itu advantage (memberi kelebihan) kepada BN kerana pada 2008 disebabkan mereka dapat banyak undi pos pada ketika itu iaitu 1,800 undi kalau nak bandingkan dengan 2004," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Bulan Pertabalan Sempena Istiadat Pertabalan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan di Seremban semalam.

Mohamad bagaimanapun yakin BN akan dapat mengukuhkan kedudukan kerana pada 2008, pengundi yang memilih BN bertambah kepada 6,430 berbanding hanya 5,000 lebih pada 2004.

"Jadi jangan kita tuduh dan tohmah yang macam-macam pasal undi pos ini. Pasal itu saya katakan kita perlu kerja kuat dan kita perlu menyakinkan semua orang untuk pastikan kemenangan kita tapi saya rasa yakin dan percaya BN akan dapat pertahankan kerusi kita di sana," katanya.

Mohamad yakin calon BN, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad akan berjaya menawan hati rakyat Bagan Pinang kerana popularitinya di kalangan mereka yang tinggal di Telok Kemang, Bagan Pinang serta Port Dickson.

"Senang kerja kita dalam BN, tak payah nak tarik ke hulu ke hilir hendak memperkenalkan calon, siapa tidak kenal Tan Sri Isa kan? Jadi sebahagian daripada kita punya kerja sudah selesai," katanya.