Khamis, Oktober 08, 2009

4,602 PENGUNDI POS BUANG UNDI HARI INI


Para pengundi Pos bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang membuang undi hari ini di Pusat Asas Latihan Tentera Darat (Pusasda) dan Ibu Pejabat polis Daerah Port Dickson di sini bermula pukul 8 pagi.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, sebanyak 4,602 undi pos telah dikeluarkan untuk tujuan tersebut iaitu membabitkan 4,571 anggota tentera dan 31 anggota polis.

''Kita membuat keputusan untuk membuka satu saja pusat pengundian (untuk pengundi pos tentera) atas permintaan pihak tentera yang bertanggungjawab ke atas kem-kem ini. Kalau terlalu banyak susah hendak dikawal.

''Sehubungan ini kita kumpulkan semua sekali di Pusasda esok," katanya selepas meninjau proses pengeluaran dokumen undi pos yang turut dihadiri ejen calon di Kompleks Pentadbiran Daerah Port Dickson semalam.

Wan Ahmad berkata, untuk proses undi pos esok hanya seorang wakil calon dibenarkan masuk bagi memantau proses pembuangan undi.

Bagaimanapun beliau memberi jaminan ejen calon boleh memantau keseluruhan proses tanpa halangan.

Menjawab satu soalan beliau berkata, keputusan sama ada pembuangan undi pos akan dibuat dalam masa sehari atau dua hari bergantung kepada keadaan.

''Untuk undi pos ini juga tarikh terakhir untuk dipulangkan kepada SPR ialah pada 11 Oktober sebelum pukul 5 petang. Ini adalah khas untuk anggota tentera yang menjadi pengundi tetapi berada di luar Port Dickson," katanya.

Ujar beliau, sekiranya undi pos lewat diterima oleh SPR dalam tempoh masa yang ditetapkan ia akan dimasukkan ke dalam peti lain dan ia tidak akan dikira.